Malaysia Dateline

Jangan taksub parti, jangan guna agama justifikasi kesalahan, nasihat pendakwah

Selepas para netizen biasa mengkritik Menteri Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, kini para agamawan dan asatizah pula menyertai mereka mengkritik dan mengecam tindakan Ahli Parlimen Pas itu melanggar kuarantin.

Terkini, Firdaus Wong Wai Hung, seorang asatizah yang selalu memberikan kuliah dan pandangan tentang agama menyertai mereka dengan meminta agar penyokong Khairuddin tidak menjadikan agama untuk memberi justifikasi kesalahan.

“Jangan taksub parti. Salah tetap salah. Jangan gunakan agama menjustifikasi kesalahan tetapi gunakan agama sebagai panduan yang baik dan buruk serta yang betul dan salah,” tulis beliau melalui facebooknya.

Bagi beliau, pemimpin perlu tunjukkan contoh yang baik apatah lagi Menteri.

“Kerajaan membuat ketetapan wajib kuarantin 14 hari setelah pulang dari negara maka bagaimana mungkin seorang Menteri dari kerajaan sendiri tidak patuh?

“Jikalau tiada tindakan ke atas Menteri tersebut, maka jangan salahkan rakyat kalau mereka berpendapat double standard,” tulis Firdaus yang disukai oleh lebih 1900 pembaca, menerima 187 komen dan dikongsi lebih 115 orang.

Mendahului beliau mengkritik Khairuddin adalah Dr Rozaime Ramle, pakar hadis dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim.

“Nasihat saya supaya patuhlah SOP untuk kawalan COVID-19. Bila anda tidak patuh, anda mungkin akan menyusahkan staf KKM bila jangkitan berlaku. Ambillah contoh kes kluster Sivagangga. SOP dibuat untuk kebaikan bersama.

“Sedih sungguh apabila pemimpin negara sendiri tidak patuh SOP untuk kuarantin diri. Saya hanya menyatakan kesedihan sahaja, jangan sekeh kepala saya pula,” kata Rozaime melalui facebook beliau.

Para penyokong Pas mula menyebarkan pandangan yang mempertahankan tindakan Khairuddin yang melanggar kuarantin 14 hari yang dikenakan Kementerian Kesihatan Malaysia terhadap semua pihak yang baru pulang dari luar negara khasnya negara yang dikenalpasti mengalami wabak Covid-19.

Bagi mereka, serangan ke atas Khairuddin dirancang oleh DAP dan Pakatan Harapan untuk membunuh karektor menteri dari Pas itu selepas sebelum ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga dikenakan tindakan yang sama.