Malaysia Dateline

Jangan takut cucuk vaksin Covid-19, rayu AWAN Kelantan

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Kelantan cakna dan bimbang dengan begitu ramainya rakyat Kelantan yang gagal hadir menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ketuanya, Dr Hafidzah Mustakim menyifatkan satu kerugian besar apabila ramai lagi yang telah mendaftar untuk suntikan vaksin tetapi masih gagal mendapat slot temujanji kerana panjangnya giliran menunggu.

“Jangan takut cucuk vaksin. Buat masa ini, suntikan di fasiliti kerajaan merupakan satu-satunya cara bagi rakyat mendapatkan vaksin berharga ini.

“Kita berikhtiar mencegah virus Covid-19 yang telah menjangkiti hampir 23,000 orang dan meragut 104 nyawa rakyat Kelantan,” ujarnya dalam kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.

Sehubungan itu, AWAN Negeri Kelantan katanya, bertekad melancarkan kempen Jom Daftar Vaksin dan Jom Cucuk Vaksin sebagai usaha kebajikan menyampaikan maklumat yang betul kepada ahli dan masyarakat.

“Kempen digital akan ditumpukan kepada anak-anak agar mendaftarkan ibu bapa di kampung dalam MySejahtera sebagai penerima vaksin.

“Namun, apa yang lebih membimbangkan kami adalah kecukupan bekalan vaksin untuk diberikan kepada rakyat Kelantan pada kadar yang lebih laju daripada yang ada hari ini,” ujarnya.

Dr Hafidzah Mustakim

Untuk rekod, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, kira-kira 10,000 individu gagal hadir untuk menerima suntikan vaksin fasa kedua di 19 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh Kelantan sehingga kelmarin.

Jelasnya, kebanyakan individu terbabit merupakan warga emas berusia 60 tahun ke atas dengan rata-ratanya memberi alasan tidak hadir kerana mempunyai masalah kesihatan dan isu peribadi lain.

Sebahagian besar individu terbabit juga, tambahnya, gagal memaklumkan ketidakhadiran mereka untuk menerima vaksin kepada PPV masing-masing.

Mengulas lanjut, Dr Hafidzah berkata, selain masalah kesihatan, penolakan vaksin tersebut turut berpunca daripada kebimbangan terhadap kemungkinan kesan sampingan akibat terpengaruh dengan berita palsu dan tidak sahih.

Selain itu, jelasnya, masalah logistik seperti pengangkutan dan juga bantuan fizikal seperti kerusi roda dan peneman untuk warga emas yang uzur mendapatkan vaksin juga dilihat penghalang kepada proses vaksinasi.

“Sudah tiba masanya agaknya kita memikirkan satu sistem pandu lalu bagi mendapatkan vaksin sebagaimana di amalkan di sesetengah negara,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru kepada Jabatan Kesihatan Negeri agar menambahbaik prasarana seperti kerusi roda untuk warga emas serta menambah anggota sukarelawan bagi kelancaran proses vaksinasi di seluruh PPV.

“Kempen kesedaran dan maklumat yang betul berkaitan vaksin mesti terus disampaikan kepada rakyat.

“Selain penggunaan media massa, penggerak masyarakat akar umbi mesti digunakan secara maksimum,” tambah Dr Hafidzah lagi.