Malaysia Dateline

Jangan tangguhkan lagi Perjanjian MA63, kata AMANAH Sabah

Kerajaan Persekutuan yang baharu di bawah Perikatan Nasional digesa supaya tidak lagi menangguhkan berkaitan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan pada Persidangan Dewan Parlimen 18 Mei depan.

Setiausaha Parti AMANAH Negeri Sabah, Jamil Shaari berkata, pindaan tersebut seharusnya tidak ditunda lagi bagi menampakkan betapa seriusnya kerajaan baharu dalam menjaga hak dan kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.

Justeru, tegasnya gesaan pembentangan Perkara 1(2) adalah sangat signifikan kepada Sabah dan Sarawak yang selama ini berjuang menutut hak masing-masing sejak era pemerintahan Barisan Nasional (BN) lalu.

“Isu ini adalah amat serius dan tidak boleh ditangguh lagi.

“Biar rakyat melihat kesungguhan kerajaan baharu ini dalam memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak selaras apa yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” ujar beliau ketika dihubungi di Sandakan hari ini.

Baca: RUU sepatutnya dibentang

Sebelum ini, pada Disember tahun lalu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan dilaporkan sebagai berkata Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi bersama Semenanjung Malaysia akan dibentangkan semula di Dewan Rakyat pada Mac tahun ini.

Katanya, perkara berkenaan dipersetujui dalam mesyuarat tiga hala antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Abang Johari yang mewakili Sarawak.

Liew menjelaskan agenda utama mesyuarat (tiga hala) itu adalah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan persetujuan dicapai antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Sabah dan Sarawak berhubung 17 daripada 21 isu utama yang dikenal pasti oleh Jawatankuasa Kabinet Khas untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pindaan perlembagaan itu dibentangkan di Dewan Rakyat pada awal tahun ini tetapi tidak berjaya diluluskan.

MA63 ditandatangani di London pada 7 Julai 1963 yang menjadi detik permulaan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Perjanjian Malaysia diperkenankan pemerintah tertinggi British, Queen Elizabeth II, disusuli Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Harun Putra Syed Hassan Jamalullail pada 26 Ogos 1963.

Bertitik tolak daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itulah diwujudkan Akta Malaysia yang kini sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan.

MA63 pernah dipinda dalam Perlembagaan Persekutuan pada 1976 oleh Kerajaan di bawah Barisan Nasional menyebabkan status rakan sekutu Sabah dan Sarawak bertukar kepada negeri menyebabkan kedua-dua wilayah yang pernah bergelar negara (diulang: negara bukan negeri) itu sama status dengan negeri lain di Semenanjung.