Malaysia Dateline

Jangan terkejut jika sidang Parlimen hanya pameran sahaja, kata Kadir Jasin

Tokoh media, Datuk A Kadir Jasin memberikan amaran agar orang ramai tidak terkejut jika sidang Parlimen yang akan bermula 26 Julai ini hanya untuk pameran sahaja.

“Jangan terkejut jika sidang khas Parlimen bermula 26 Julai ini adalah untuk pameran saja,” kata Kadir melalui Facebook beliau.

Selepas tiga kali dititah oleh Yang Dipertuan Agong, Parlimen memanggil sidangnya mulai 26 Julai ini selama lima hari sahaja.

Bagaimanapun agenda yang ditetapkan dalam masa lima hari itu hanya taklimat menteri sahaja.

Menurut notis yang dikeluarkan, sidang yang bermula hari Isnin 26 Julai hingga Isnin 2 Ogos hanya ada satu urusan majlis sahaja iaitu “Penerangan daripada Menteri-menteri.”

Sebelum ini, Yang Dipertuan Agong menitahkan agar Parlimen bersidang sebelum 1 Ogos 2021 bagi membahaskan isu Covid-19 dan Pelan Pemulihan Negara yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri.

Ekoran itu, beberapa Ahli Parlimen dari Umno dan Pembangkang membidas tindakan kerajaan membuka sidang Parlimen lima hari hanya untuk memberi taklimat sahaja.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata beliau telah bersiap sedia untuk berbahas sebaik sahaja sidang parlimen bersidang dengan membawa isu dan masalah rakyat.

“Saya telah bersiap untuk berbahas membawa isu dan masalah rakyat dalam sidang parlimen 26 Julai ini sepertimana yang dititah oleh YDP Agong.

“Bila terima surat aturan mesyuarat semalam kami hanya datang parlimen untuk dengar doraemon-doraemon bercakap. Saya sedang fikir sesuatu…,” ciapnya melalui Twitter.

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak pula berkata sidang khas itu sepatutnya untuk membahaskan Pelan Pemulihan Negara dan Ordinan Darurat.

“Titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja pemerintah jelas ialah untuk bertitah sidang Parlimen diadakan secepat mungkin, bukan untuk kita pergi ke Parlimen untuk mendengar penerangan atau taklimat dari menteri-menteri.

“Apa yang kamu susah faham dengan titah-titah Agong dan Raja-Raja,” katanya di Facebooknya.