Malaysia Dateline

Jangan terkejut, Melayu pergi junjung kain di Kemboja pula selepas ini jika…

Jangan terkejut satu hari nanti orang Melayu akan pergi menjunjung kain untuk dijual di kampung-kampung di Kemboja dan Vietnam sebagaimana mereka (orang Kemboja) lakukan di negara ini lima enam tahun lalu.

Ini boleh berlaku jika negara terus mundur akibat ketirisan, penyelewengan dan rasuah yang dilakukan oleh pemimpin negara.

Mereka semua datang ke negara ini kerana tidak ada pekerjaan di negara mereka akibat kemunduran. Tetapi sekarang, mereka sudah pulang ke negara masing-masing kerana negara mereka sudah maju dan banyak peluang pekerjaan disediakan.

“Ada orang dok cerita. Lima enam tahun lalu, kita lihat tak ramai anjing di kampung-kampung kita kerana ramai orang Vietnam kat sini. Kononnya mereka makan anjing tu.

“Sekarang ini anjing ramai balik dah kerana mereka sudah tidak ada, dah pulang ke negara asal mereka.

“Begitu juga dulu ramai orang Kemboja masuk ke kampung-kampung kita junjung pakaian dalam bungkusan untuk dijual.

“Sekarang di mana mereka? Mereka sudah pulang kerana negara mereka sudah maju dan boleh menyediakan peluang pekerjaan,” kata Mohamad Sabu, Presiden AMANAH dalam ceramahnya di Baling, salah satu kawasan yang dianggap termiskin di Malaysia.

Namun, kata Mohamad, orang Melayu masih tidak sedar dengan apa yang berlaku ini.

Mereka masih lagi percaya dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang ada walaupun pelbagai penyelewengan didedahkan.

“Orang Melayu khasnya di kampung-kampung masih terpengaruh dengan kempen-kempen negatif yang menggunakan bangsa dan agama untuk menarik sokongan.

“Meraka masih percaya, jika tidak diberikan sokongan kepada Umno dan Pas, nasib Melayu di negara ini akan tergadai ketika mereka melakukan pelbagai penyelewengan dan rompakan terhadap wang negara.

“Kalau ini berterusan, orang Melayu pula akan pergi junjung kain di Kampuchea, kalau hampa undi lagi menatang BN … inilah nasib kita nanti,” kata Mohamad Sabu.

Menurut beliau, negara ini kaya raya dan banyak duit tetapi ia akan habis jika berterusan dikikis oleh pemimpin yang jahat dan tamak.

“Kita banyak duit tetapi kerana kononnya nak selamatkan Melayu Islam agar kekal memerintah..kita ambil sikap rasuah tak apa, seleweng tak apa.

“Akhirnya kita jadi macam Sri Lanka… kerana kempen Sri Lanka untuk pribumi, Sri Lanka jadi bangkrap. Bila negara dah bangkrap, makanan dah tak ada, barulah Umno Sri Lanka sedar dan merusuh dengan pergi mandi kat kolam renang rumah presiden mereka yang lari,” kata beliau.

Ceramah Mohamad Sabu di Baling berlaku ketika kajian yang dibuat oleh Ilham Centre mendapati Pakatan Harapan akan kehilangan undi Melayu dalam pilihan raya umum akan datang ini.

Ini kerana, orang Melayu masih takut untuk memberikan undi kepada Pakatan Harapan kerana kononnya jika berbuat demikian bermakna menyerahkan negara kepada orang bukan Melayu.

“Orang Melayu khasnya di kampung-kampung termasuk di Baling ini masih percaya dengan kempen perkauman Umno dan Pas. Kononnya, jika sokong PH, negara akan jatuh kepada orang kafir iaitu DAP.

“Padahal, ketika mereka buat kempen itu, duit mereka sapu dengan pelbagai cara tetapi kalau tak undi mereka, negara akan diperintah oleh orang kafir.

“Padahal, dulu bukan setakat DAP, Umno pun kita kata kafir,” kata Mohamad bekas Timbalan Presiden Pas mengenang kembali sejarah kafir mengkafir di negara ini.

“Kenapa berlaku begitu, kerana kita dok dengar ceramah-ceramah yang bukan-bukan oleh tok-tok guru Pas dulu,” katanya.

APA YANG DIBUAT KERAJAAN PH

Menurut Mohamad, apabila beliau menjadi Menteri Pertahanan, antara perkara awal yang beliau buat adalah meminta Jawatankuasa Siasatan di bawah Tan Sri Ambrin Buang yang ditubuhkan oleh kerajaan ketika menyiasat Kementerian Pertahanan dahulu kerana di situlah lubuk penyelewengannya.

“Dari situlah kita tahu apa yang terdedah sekarang.

“Laporan pertama, Land Swap, kita hilang RM500 juta. Enam helikopter yang dibeli dengan harga RM350 juta, satu pun tak sampai.

“April 2019 kita sepatutnya terima LCS 1, tak terima sampai sekarang. 4 buah yang dibina di China siap pula dan sedang beroperasi di laut.

“Yang kita ni bina enam buah LCS. RM6 bilion dah habis bayar, sebiji pun tak siap. RM400 juta yang dibayar takda kena mengena pun dengan buat kapal LCS ini,” kata Mohamad mengingatkan kembali tentang laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang mendedahkan perkara itu.

Bagi Mohamad semua ini berlaku kerana orang Melayu terpengaruh dengan kempen sentimen Melayu Islam yang dibuat oleh Umno dan Pas.

“Negara terjual tidak apa, asalkan Melayu Islam kekal memerintah negara. Inilah kempen yang dibuat oleh lebai-lebai di kampung-kampung. Sebab itu orang Melayu bersikap macam ini,” kata beliau di hadapan penduduk Baling.