Jangan terlalu berpuas hati atau anda akan gagal

Jangan terlalu berpuas hati atau anda akan gagal

Berada di zon selesa dan anda akan berakhir dengan kegagalan.

Itu amaran daripada Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann kepada pemain remaja yang diserapkan dalam skuad senior kebangsaan.

Justeru, beliau menggesa pemain-pemain muda untuk terus mencabar diri masing-masing dan jangan terlalu berpuas hati dengan apa sahaja mereka ada atau kecapi.

“Kita akan memantau kemajuan (prestasi) dan keadaan mental mereka…di persekitaran dan gelanggang latihan baharu. Kita akan mengetuai dan membimbing mereka dengan input dan pengetahuan yang betul supaya mereka berasa selesa tetapi tidaklah sehingga menjadi terlalu berpuas hati.

“Maksud saya, mereka dialu-alukan ke peringkat senior, namun mereka juga mesti berusaha keras untuk mendapatkan tempat dalam skuad kerana tidak ada langsung ‘kenaikan’ secara automatik. Kita mempunyai pemain, ruang dan tempat terhad.

“Kita hanya memenuhi keperluan bagi mereka yang dahagakan kejayaan, maka sikap mereka tunjukkan akan membantu kami membuat keputusan (sama ada pemain remaja boleh mendapat tempat atau sebaliknya),” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini hari ini.

Kenyataannya itu susulan pengesahan daripada Setiausaha BAM Datuk Ng Chin Chai bahawa kesemua pemain daripada skuad Kejohanan Remaja Dunia, termasuk pemain profesional Aidil Sholeh Ali Sadikin, akan diserap dalam skuad senior.

Choong Hann juga mengingatkan pemain remaja bahawa kemahiran sahaja tidak akan membawa mereka ke mana jika mereka tidak mempunyai mentaliti sebagai juara, di samping perlu ada sikap mahu belajar dan memperbaiki prestasi, kerana menurutnya banyak pemain berbakat akhirnya gagal kerana tidak mempunyai sikap itu.

Sekurang-kurangnya pemain remaja tidak perlu melihat terlalu jauh apabila mahu mempelajari mengenai kekuatan mental kerana Malaysia memiliki antara pemain terbaik dunia, Datuk Lee Chong Wei, katanya.

Berhubung kesungguhan untuk belajar dan memperbaiki prestasi masing-masing, Choong Hann berkata pemain remaja mesti meningkatkan otot-otot mereka agar lebih bertenaga dan pantas.

“Jika anda mempunyai kemahiran, tetapi tidak tahu meningkatkan otot dan tahap kecergasan anda, maka semuanya akan menjadi sia-sia,” katanya.

— BERNAMA