Jangan terlalu menghormati Belanda – Mirnawan

Jangan terlalu menghormati Belanda – Mirnawan

Skuad hoki negara diingatkan supaya tidak terlalu menghormati pasukan Belanda apabila turun menentang jaguh dunia itu dalam aksi sulung mereka pada Piala Dunia Hoki 2018 di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India, Sabtu ini.

Bekas penyerang skuad kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi berkata skuad negara harus menunjukkan semangat juang dan keyakinan tinggi pada aksi Kumpulan D itu, walaupun di atas kertas memang bukan mudah untuk menewaskan naib juara 2014 itu yang menghuni ranking keempat dunia.

Berdasarkan rekod pertemuan terdahulu pada Piala Dunia, Belanda meraih tiga kemenangan, manakala Malaysia yang menduduki ranking ke-12 dunia, hanya pernah menang sekali, tetapi beliau berkata skuad negara masih berpeluang mencipta kejutan di kejohanan tersebut.

Mirnawan yang mengetuai skuad ‘Malaysian Tigers’ ketika mengikat Belanda tanpa jaringan di Sukan Olimpik Sydney 2000, berkata skuad negara juga harus mengelak melakukan kesilapan mudah dan sentiasa fokus sepanjang perlawanan.

“Berdasarkan ranking, persiapan pasukan Belanda dan kekuatan mereka, memang sukar untuk Malaysia menewaskan mereka tetapi harapan saya adalah untuk melihat pemain kita memberi tentangan sengit dan jangan mudah menyerah kalah.

“Kita harus berikan fokus 100 peratus, pamer disiplin tinggi. Jangan terlalu hormat kepada mereka, yakin pada diri sendiri dan rakan sepasukan untuk membuktikan yang kita mampu beri saingan kepada pasukan terbaik dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Berkongsi pengalaman mengikat Belanda pada peringkat kumpulan Sukan Olimpik 2000, sebelum pasukan itu meraih pingat emas, Mirnawan berkata skuad negara mempamerkan strategi bertahan sebagai satu pasukan dan pantas melakukan serangan balas apabila mendapat peluang.

Beliau turut meminta pemain senior seperti penjaga gol S. Kumar, ketua pasukan Mohamad Shukri Abdul Mutalib, pakar pukulan sudut Muhammad Razie Abd Rahim, pemain tengah Nabil Fiqri Mohd Noor, serta Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dan Faizal Saari di jentera serangan memimpin dan menjadi contoh yang baik kepada pemain muda.

Loading...

Mirnawan yang mempunyai pengalaman tiga kali beraksi pada Sukan Olimpik (1992, 1996 dan 2000) dan Piala Dunia (1998 dan 2002), turut mengingatkan pemain negara supaya tidak mengutip kad dengan mudah kerana skuad kendalian Max Caldas mempunyai kekuatan di semua bahagian untuk menghukum skuad negara.

“Ia kerana apabila seorang pemain itu berada di ‘sin bin’, menerima antara dua (kad hijau) hingga lima (kad kuning), pasukan seperti Belanda mempunyai kekuatan dan strategi baik untuk menjaringkan gol. Keadaan itu juga akan menyebabkan pemain lain terpaksa bekerja keras menutup ruang ditinggalkan pemain itu dan mengakibatkan mereka penat.

“Penjaga gol, sama ada Kumar atau Muhammad Hairi Abdul Rahman pula tidak seharusnya melepaskan gol mudah kerana ia boleh merendahkan motivasi dan semangat juang rakan sepasukan,” katanya.

Mirnawan juga yakin percaturan dan penambahbaikan dilakukan ketua jurulatih baharu skuad negara, Roelant Oltmans, yang lebih menekankan penguasaan bola, memberi tekanan dan bertahan dengan efektif ketika tiga aksi persediaan menentang New Zealand pada minggu lalu, mampu membuahkan hasil.

Selepas cabaran getir menentang juara tiga kali Belanda, Malaysia akan bertemu juara empat kali Pakistan yang menduduki ranking ke-13 dunia pada 5 Dis, diikuti aksi menentang juara dua kali Jerman pada 9 Dis.

Malaysia perlu menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan tiga teratas untuk mara ke pusingan kalah mati.

Pencapaian terbaik skuad negara pada Piala Dunia adalah menduduki tempat keempat apabila Malaysia menganjurkan edisi 1975, sementara dalam edisi lepas pada 2014, pasukan kebangsaan menamatkan saingan di kedudukan keenam dan tercorot dalam Kumpulan A, selepas tewas kesemua lima perlawanan.

— BERNAMA