Malaysia Dateline

Jangan terlepas bantu golongan ‘miskin baharu’, kata MP DAP Bandar Kuching

Kerajaan diingat tidak boleh menutup mata dan mengabaikan golongan ‘miskin baharu’ (new poor) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan sehingga 12 Mei ini.

Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata, walaupun kerajaan mensasarkan golongan bantuan kepada B40 semasa lanjutan daripada PKP, namun golongan miskin baharu harus diambil perhatian yang sama.

“Golongan ini terdiri daripada mereka yang sebelumnya berpendapatan cukup, tetapi ekoran impak penularan wabak Covid-19 yang membawa kepada kejatuhan ekonomi telah menyebabkan terdapat antara mereka kehilangan pendapatan, simpanan, bahkan pekerjaan,” kata beliau di Kuching hari ini.

Menurut Dr Kelvin, kerajaan adalah disaran untuk mengumpulkan data tentang kelompok yang terlibat dalam industri tidak formal atau pekerjaan sendiri bagi menyalurkan bantuan yang seterusnya nanti.

“Justeru, sebuah pelan keselamatan sosial dapat dirangka dengan baik bagi membantu mereka dalam menjalani kehidupan selepas berakhirnya PKP selepas ini,” ujar beliau lagi.