Malaysia Dateline

Jangan termakan jerat Umno keruh hubungan PH dengan istana

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) diingatkan supaya tidak terjerumus dalam perangkap Umno yang dilihat galak mengapi-apikan lagi hubungan parti pembangkang dengan pihak istana.

Keadaan itu kata Naib Pengerusi DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (foto) hanya akan memberi keuntungan politik kepada parti pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, tindakan sesetengah pihak dalam Umno memanjangkan lagi isu melibatkan status twitter Datuk Zaid Ibrahim yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini hanya untuk mengalih perhatian rakyat daripada penyelewengan 1MDB.

“Isu yang terus dimainkan ini umpama sengaja mencurah minyak ke dalam api.

“Ia tak lebih daripada untuk mengalihkan isu malapetaka 1MDB dan kesusahan kehidupan rakyat akibat GST, ketidaktentuan harga minyak, kenaikan harga barang serta kejatuhan nilai ringgit,” kata ketika dihubungi Roketkini.

Adun Mentakab itu berkata, Umno telah memulakan serangan dan propaganda halus mereka dengan mula mencetuskan isu keturunan sehingga ia meleret-leret hingga saat ini.

“Umno yang mulakan dahulu mainkan isu keturunan, bila dah tak boleh berhujah, mula sebut ‘kepala bapak’ dan macam macam lagi.

“Kita daripada PH jika ikut perangai mereka – itulah yang mereka mahu, politik maki hamun, adu domba dan bukannya politik kebenaran tapi politik kebencian,” ujar beliau.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang itu berkata, saat ini, Umno akan cuba mengheret istana dalam politik bagi menjejaskan imej PH.

“Selepas pihak istana terheret dalam kancah politik, mereka akan mainkan lagu kononnya PH akan hakis kuasa Raja Raja Melayu,” jelas Tengku Zul.

Sekiranya Umno berjaya lakukan demikian, sudah tentu imej dan hubungan pihak istana dengan PH akan terjejas.

“Jadi, kita perlu fokus pada isu rakyat dan jangan terperangkap dalam jerat mainan Umno ini.

“Jangan termakan dengan adu-domba mereka,” katanya lagi.