Seorang wanita langsung tidak menyangka hidupnya bakal menderita selepas membuat keputusan untuk berkahwin dengan suami pilihannya, dua tahun lalu.
Rela bersusah payah bersama di awal perkahwinan, suami kepada wanita bernama Siti itu tergamak membiar isterinya terkapai sendirian selepas meraih kemewahan.
Berharap dijadikan pengajaran, berikut perkongsian Siti yang terpaksa membuat dua pekerjaan demi menampung perbelanjaan rumah walaupun suaminya bergaji besar.
“Sejak akhir-akhir ini, terbaca luahan orang bujang berkaitan isu tak kahwin-kahwin lagi. Aku yang sudah berkahwin ini pun kalau boleh, nak jadi bujang balik. Aku tulis ini sebab nak bagi pengajaran. Apa yang kita sangka sebenarnya langsung tidak sama dengan realiti. Aku sudah berkahwin selama hampir dua tahun.
“Tetapi benarlah orang dulu-dulu kata yang perkahwinan di bawah lima tahun, penuh dengan cabaran. Ada kalanya bahagia. Tetapi apabila sudah diduga, berat sungguh cubaan. Aku memutuskan berkahwin dengan suami sebab tengok dia seorang yang bertanggungjawab. Setiap bulan bagi duit kepada mak, nenek dan ibu saudaranya.
“Realitinya apabila sudah banyak tanggungjawab, aku isterinya hanyalah dianggap sebagai beban. Setiap kali dia marah, itu ayat yang selalu keluar daripada mulutnya. Katanya menyesal kahwin, beban dan lain-lain. Padahal bulan -bulan, dia hanya bagi aku RM300 sahaja. Itu, belum lagi tolak bil air dan elektrik.
“Jadi untuk makan, aku pandai-pandailah sendiri nak hidup. Ibu saudara suami yang tinggal di kampung boleh hidup dengan RM200 sebulan duit dari dia. Suami aku gaji besar, RM7,000 hingga RM8,000 sebulan. Tetapi yang sedihnya, aku terpaksa ikat perut sebab gaji kecil dan perlu membayar komitmen hutang.
“Sekarang, aku tengah daftar untuk buat Grab. Suamiku bergaji besar, tetap isterinya terpaksa buat dua kerja dalam satu masa. Dulu ingatkan, hidup akan senang apabila suami aku dapat kerja besar. Jadi suri rumah, tinggal tunggu suamiku pulang. Dahulu bukan main, aku sanggup susah-susah ambil cuti untuk teman dia.
“Bangun pagi-pagi buta demi menemani suami temu duga di Singapura. Konon nak susah sama-sama. Realitinya apabila sudah senang, suami seronok membeli belah baju, seluar, dan kasut banyak-banyak untuk dirinya sahaja. Aku hanya boleh tengok sahaja. Katanya, sebab dia sudah penat-penat kerja.
“Suami anggap itu semua hasil titik peluhnya, jadi dia berhak untuk membeli belah puas-puas. Katanya kerja, jadi orang jangan harapkan duit orang. Beli rumah pun atas nama dia sahaja, selepas itu cakap rumah milik bersama. Alasannya, suruh aku usaha sendiri kalau nak ada rumah, ambil rumah bantuan kerajaan sahaja.
“Suami ingat bantuan itu senang nak dapat? Kalau suami meninggal, memang aku jual rumah itu. Aku tidak akan keluar sesen duit untuk rumah itu. Tak pedulilah kalau kena lelong suatu hari nanti. Bukan rumah aku pun. Pandai-pandailah nak hidup. Dia sekali membeli, habis RM400-RM500. Duit itu boleh beli barang dapur untuk sebulan.
“Suami kalau habiskan RM400 untuk beli bajunya, tidak mengapa. Tetapi kalau habis RM400 untuk barang dapur, meroyan dia. Aku bukannya masak hari-hari pun sampai berhabis banyak, Kalau aku masak hari-hari, bukan RM400 tetapi hampir RM1,000 sebab selera suami tinggi. Aku, sedih tetapi hanya mampu sabar.
“Aku tengah susah, duit dalam akaun bank ada sedikit sahaja. Bukan tak nak masak, tetapi aku tiada masa kerana bekerja. Resepi dalam Facebook suami suruh aku buat, sudahlah barang banyak dan mahal. Meroyanlah dia kena keluar duit banyak. Suami siap bandingkan lagi aku dengan mak dia.
“Katanya, suami dahulu beri mak RM 200 sahaja. Tetapi tetap boleh masak macam-macam. Tak seperti aku. Padahal, mak mentua ada pendapatan dan duit simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja). Jadi, bolehlah tambah duit tak cukup. Tak perlu mak mentua harapkan pada duit dia yang tidak seberapa itu.
“Ini aku masak apa yang dibeli sahaja. Harga barang semua mahal sekarang. Suami pula berkira, cerewet pula. Kalau masak tak kena sedikit sahaja, mengamuk. Keluar semua makian, hinaan dan cacian. Masakan aku terus dibaling ke lantai apabila ada yang tidak kena. Aku sedih. Makanan itu penat-penat aku beli, keluar duit sendiri.
“Aku sudahlah ke kedai angkut barang berat-berat seorang diri. Walau badan penat, kena keluarkan tenaga lagi nak masak dalam masa yang terhad. Sekali, macam itu sahaja suami baling. Pedih, langsung tak dihargai. Bukan itu sahaja. Kerja-kerja rumah yang aku buat suami juga akan periksa.
“Aku ini sudahlah penat balik kerja, patutnya tolonglah sama-sama buat kerja rumah. Tetapi ini pergi tambah beban aku. Lebih baik suami yang tidak menolong isteri pula daripada dapat laki macam ini. Kalau ada kotor dekat mana-mana celah, suami akan mengamuk. Aku macam orang gaji, dia pula majikan yang periksa kerja orang.
“Letih, macam mana aku nak kerja untuk cari duit lebih untuk makan. Apabila balik, kena mengemas rumah secepat kilat macam aku ini seharian duduk rumah. Tunggu masa, memang aku nak lari. Jujur, kalau aku duduk seorang diri dekat Kuala Lumpur pun tidak sesusah sekarang. Suami nak cahaya mata, tetapi aku memang tak nak.
“Seorang pun aku sudah penat, apatah lagi kalau ada anak. Nanti tak pasal-pasal aku bu*** anak tidak berdosa itu sebab meroyan. Aku sampai berdoa pada Tuhan, baik mati sahajalah sebab terlalu penat. Doakan aku supaya dapat rezeki dan juga pekerjaan yang lebih baik.
“Sebabnya apabila hidup senang sedikit, memang aku berniat nak tinggalkan suami dari neraka ini dengan perkahwinan toksik yang kami lalui.” Kongsi Siti (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran di laman luahan atas talian yang terkenal di kalangan pengguna media sosial tempatan.
Baca juga: Tak sangka alien dalam filem Senario XX rupanya cakap bahasa Melayu, ini penjelasannya