Malaysia Dateline

Jangan tunduk kepada sogokan PN, tegas AMK Sarawak

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak mengingatkan semua wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) yang telah dipilih pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu agar terus konsisten dengan prinsip perjuangan.

Ketua AMK Sarawak, Saifunnizam Sam berkata, semua wakil rakyat PKR dan PH perlu memelihara amanah pengundi tanpa tunduk kepada sogokan dan ugutan yang terus menerus oleh Perikatan Nasional (PN) demi kelangsungan politik mereka.

Tegasnya, semua pihak harus tekun dalam mendepani krisis politik negara mutakhir ini demi mendapatkan kembali kepercayaan rakyat terhadap sistem pilihan raya di Malaysia yang telah dicemari oleh pihak yang tamak haloba, rakus dan tidak bermaruah.

Justeru, katanya AMK Sarawak yakin rakyat Malaysia akan menggunakan sebaiknya kuasa yang ada pada mereka untuk menghukum dan menentukan nasib petualang dan pengkhianat pada pilihan raya akan datang.

“Saya juga yakin baik di peringkat negeri mahupun cabang akan terus fokus dengan agenda kepentingan rakyat dan pelbagai gerak kerja parti di lapangan sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 tidak lama lagi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Mengulas tindakan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng yang menyatakan sokongan kepada kerajaan pintu belakang Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau berkata, AMK Sarawak menghargai sumbangan Larry sebagai Pengerusi MPN sebelum ini.

Walau bagaimanapun, beliau bertegas mengutuk keras dan menzahirkan kekecewaan atas keputusan tersebut.

Selain Larry, seorang lagi Ahli Parlimen Tebrau dari PKR iaitu Steven Choong turut melompat keluar parti bagi menyokong kerajaan PN.

Saifunnizam turut menambah AMK Sarawak pada setiap masa akan kekal berpegang teguh kepada prinsip-prinsip dan landasan perjuangan parti sejak penubuhannya di samping menyokong penuh kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Malah, kita tetap yakin pengunduran Larry selaku Pengerusi MPN Sarawak tidak akan menjejaskan kepimpinan parti di peringkat negeri memandangkan ketokohan ramai ahli Majlis Pimpinan Negeri yang lain jika diberi peluang dan sokongan sewajarnya untuk memimpin parti di negeri ini,” jelasnya lagi.