“Jangan tunggu bapa tak ada, baru cari”, Yusof Haslam menangis rindukan Syamsul

Oleh WAN SITI AMINAH

Penerbit terkenal, Yusof Haslam tidak dapat menahan sebak setiap kali teringatkan ‘ketiadaan’ anak lelakinya iaitu pengarah sensasi, Syamsul Yusof.

Dedah lelaki berusia 69 tahun itu, Syamsul Yusof sudah cukup lama tidak berhubung, bersua muka mahupun menjejakkan kaki pulang ke rumah mewah milik keluarganya.

Menghormati keputusan diambil anaknya, Yusof Haslam mengakui dirinya dan isteri tidak marah malah sentiasa mendoakan yang terbaik buat pengarah berkenaan.

Walau bagaimanapun, Yusof Haslam sebagai seorang ayah tidak lupa mengingatkan Syamsul agar menyedari kewujudan ibu bapa sebelum mereka pergi buat selamanya.

Difahamkan, dua beranak itu berhubung kali terakhir tahun lepas selepas isterinya, Datin Patimah menghubungi Syamsul ketika ibu mentua Yusof (nenek) jatuh sakit.

Tidak menganggap yang bukan-bukan, Yusof Haslam memaklumkan perbualan dalam telefon itu berlaku selepas bertahun-tahun Syamsul tidak pulang ke rumah.

“Sebagai anak, mungkin ada benda yang dia tak puas hati dengan ibunya atau dengan saya. Kami bagi masa, terserah pada Syamsul untuk balik berjumpa dengan ibunya. 

“Kalau dia tak nak balik sekalipun, terserah. Tepuk dada tanya selera. Kami sudah nak menjangkau 70 tahun pada tahun depan. Ramai rakan seperjuangan saya sudah pergi.

“Kepada anak saya, jangan tunggu sampai bapa kau sudah tak ada barulah nak cari.” Luah Yusof Haslam dalam sesi temu bual bersama program hiburan, Melodi.

Yusof yang pernah bergelar pengarah itu juga memohon agar Syamsul tidak salah tafsir segala luahan ibu bapanya di media sebagai satu cara untuk merendahkannya.

Gagal menahan air mata, pemilik syarikat penerbitan, Skop Production itu juga sudah penat dengan segala kontroversi yang masih belum berhenti melanda keluarganya.

Pelakon veteran itu bagaimanapun reda dengan ketentuan takdir dan sentiasa menyokong serta mendoakan agar hasil karya anaknya mendapat sambutan di pasaran.

“Papa rasa jiwa kamu akan lagi tenang apabila berbaik dengan ibu terutamanya serta keluarga. Wang bukan segala-segalanya. Dalam solat kami sentiasa doakan yang terbaik.

“Kami sedih (tak jumpa Syamsul). Tentulah kami sayang dengan anak. Saya sudah letih dengan semua ini (kontroversi). Jiwa saya dan Datin Patimah sudah tenang.

“Kami sudah terima semua yang berlaku. Saya doakan agar filem-filem Syamsul mendapat sambutan yang baik. Papa tetap akan menyokong kamu.” Kata Yusof Haslam sambil menangis.

Baca juga: Terpengaruh dengan mak cik bawang, anak kecewa ibu perlekehkan hadiah Axia