Jangan tunggu catuan untuk jimat air

Jangan tunggu catuan untuk jimat air

Mesti proaktif, bukan bila ada catuan air barulah hendak berjimat. Bukan bila terdesak baru hendak buat.

Kita sebenarnya sudah lama perlu ambil inisiatif sendiri mengawal penggunaan air terawat di rumah.

Antara langkah mudah ialah dengan mengumpul semula air sisa.

S. Piarapakaran, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) mentakrifkan air sisa sebagai air terawat yang sudah bercampur dengan bendasing apabila mencuci sayuran, pinggan-mangkuk ataupun pakaian.

Air ini biasanya tidak boleh disimpan dengan lama.

Sebagai contoh dan mudah untuk dilakukan ialah menggunakan besen apabila mencuci pinggan-mangkuk dan sayuran. Air sisa boleh dikumpul serta merta dan digunakan.

Air cucian sayuran boleh digunakan untuk menyiram tumbuhan.

Bagi yang mencuci pakaian, cucian tangan menggunakan baldi atau besen, air sisa boleh di kumpul terus. Bagi yang menggunakan mesin basuh, air sisa boleh dikumpul daripada salur air cucian mesin tersebut.

Air cucian pakaian seperti ini boleh digunakan untuk mencurah tandas, mencuci longkang dan sebagainya.

KITAR SEMULA

Untuk mengitar semula air, premis kediaman perlu dipasang dengan peralatan sesuai untuk memproses air sisa supaya ia boleh digunakan selepas dikitar semula.

Menurut Piarapakaran, teknologi seumpama itu memang ada teknologi tetapi kos pembelian serta penyelenggaraan adalah tinggi berbanding kos tarif air semasa.

Bagaimanapun, bagi beliau, aktiviti kitar semula air bagi sektor industri adalah lebih kos efektif.

“Aktiviti pemprosesan yang banyak menggunakan air bagi tujuan penyejukan, medium pemprosesan atau bagi tujuan ujian boleh guna semula air sisa atau mengitar semula air sisa ini.

“Pulangan pelaburan bagi sektor-sektor ini adalah lebih cepat kerana kos tarif air yang tinggi disebabkan jumlah penggunaan air yang tinggi,” jelasnya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berpendapat, untuk premis kediaman, kaedah kitar semula air seperti ini mungkin dapat diguna pakai pada masa depan.

SISA KUMBAHAN

Menurut Piarapakaran, pada masa akan datang, bil sisa kumbahan akan di bil mengikut jumlah air terawat yang digunakan atau dikenali sebagai kaedah pembilan mengikut isipadu.

Sehubungan dengan itu, sekiranya aktiviti penggunaan semula air sisa dapat dilakukan, sudah tentu pengguna dapat melakukan penjimatan dalam bil air serta bil kumbahan.

“Sebagai contoh, jika aktiviti harian disebuah premis menggunakan 40 meter padu air sebulan dan pemiliknya mengguna semula air sebanyak 10 meter padu, maka premis ini hanya menggunakan 30 meter padu air terawat dan mereka juga akan di bil bayaran kumbahan untuk 30 meter padu sahaja.

“Tetapi, jika pemiliknya menggunakan keseluruhan penggunaan air daripada air terawat, maka kedua-dua bil air dan bil kumbahan adalah bagi 40 meter padu,” jelas beliau.

Kaedah ini juga dapat memastikan sistem rawatan sisa kumbahan adalah optimum dan memastikan infrastruktur kumbahan dibangunkan seiring dengan pembangunan negara.

Pada masa yang sama, ia dapat membantu menggalakkan penggunaan semula air di setiap peringkat.

SISTEM PERPAIPAN

Sistem paip yang ada di kebanyakan rumah tidak boleh mengumpul air sisa kerana ia adalah hanya untuk air terawat. Sebarang pengumpulan air sisa memerlukan sistem perpaipan yang berbeza.

Bagi kebanyakan premis, air sisa akan disalurkan terus kepada sistem kumbahan. Sebarang percampuran dalam perpaipan air terawat dan air sisa perlu dielakkan sama sekali.

Sebagai contoh, pengumpulan air hujan melalui sistem penuaian air hujan juga memerlukan sistem perpaipan yang berbeza.

Di samping itu, jika pengumpulan biasa dilakukan tanpa apa-apa perawatan, semua air sisa adalah untuk kegunaan yang berbeza. Maka, ini akan merumitkan lagi perpaipan yang ingin dipasang.

Sistem perpaipan membantu jika terdapat air sisa yang di rawat (di kitar semula) sebelum digunakan.

ADA MASALAH

Masalah akan timbul dalam pengurusan sistem pengumpulan air sisa sebegini memandangkan setiap sistem yang menguruskan air sisa perlu diselenggara dengan kerap.

Keduanya, bukan semua pembeli ingin memasang sistem sebegini dan perlu menyelenggara dengan kerap. Ini akan menjadi satu kekangan.

Bagi sistem kitar semula air sisa (tidak termasuk air sisa yang tercemar dengan najis dan air kencing) ia dikenali sebagai “greywater treatment system”.

Sistem ini akan merawat semua air sisa dari cucian pakaian, sayuran dan pinggan-mangkuk.

Air sisa mandian juga boleh disalurkan ke dalam sistem ini tetapi perpaipan tidak boleh bercampur dengan air sisa tercemar dengan najis dan air kencing.

Kos sistem dari mesin basuh atau air sisa cucian pakaian boleh mencecah sehingga RM6,000.00 sementara sistem yang sama dengan pam air boleh mencecah RM 9,000.00

Bagi sistem yang lebih canggih, kos boleh mencecah RM60,000.

Menurut Piarapakaran, kos yang diberikan adalah berdasarkan harga pada tahun 2014.

Disebabkan sistem perpaipan akan menjadi masalah utama, pihak AWER tidak merasakan sistem seperti ini diperlukan.

“Sejak dahulu lagi, air sisa daripada cucian pakaian dan sayuran kita guna semula untuk tujuan bukan makan minum tanpa teknologi yang mahal.

“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, kita patut melihat kepada kaedah yang ringkas dan tidak melibatkan belanja dalam usaha untuk menjimatkan penggunaan air,” kata Piarapakaran.

BERGANTUNG KEPADA KERAJAAN

Menurut Piarapakaran, pihak pemaju tidak boleh melakukan apa-apa tanpa keputusan kerajaan.

Pihak AWER, kata beliau, telah pun mencadangkan kepada kerajaan bagi pembinaan loji-loji sisa kumbahan berpusat.

Loji-loji ini juga perlu dibina di kawasan berdekatan dengan zon perindusrian.

Air sisa kumbahan yang dirawat boleh dibekalkan untuk proses yang tidak melibatkan penyediaan makanan dan minuman seperti proses penyejukan serta tujuan ujian.

Dengan mengurangkan permintaan kepada air terawat kepada sektor perindustrian yang digantikan oleh air sisa kumbahan terawat, lebihan air terawat boleh dibekalkan kepada pengguna domestik.

“Cadangan ini telah pun dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia ke-11 dan pihak AWER akan memastikan pelan yang betul dan mempunyai kos yang berpatutan dapat dilaksanakan dengan seberapa segera.

“Loji-loji berpusat sebegini juga dapat menjana tenaga elektrik, menghasilkan bahan campuran bagi pertanian serta konkrit. Kesemua hasil pendapatan daripada loji-loji sebegini dapat membantu mengurangkan kos operasi serta impak kepada tarif air atau tarif kumbahan,” katanya.

Oleh Melati Mohd Ariff

CATEGORIES
TAGS