Malaysia Dateline

Jangan ulangi isu murahan ini, laporan kewangan TH ada di tangan PN

Bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menjelaskan sebab mengapa Pakatan Harapan lewat mengeluarkan laporan Kewangan Tabung Haji 2018 sehingga ianya dibawa ke tahun 2020.

Beliau berkata, setelah Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, Tabung Haji perlu melalui proses pemulihan dan penstrukturan semula untuk menyelamatkan agensi itu daripada terus mengalami kerugian.

Oleh kerana itu katanya, ia membabitkan satu tempoh untuk mereka membersihkan semula akaun-akaun laporan tersebut.

“Kenapa laporan tahun 2018 tapi baru nak bentang tahun 2020? Jangan lupa bahawa dari awal pada 2018, kita sedang melalui proses pemulihan. Kita kena bersihkan semula akaun.

“Kita kena semak balik nilai-nilai yang dikatakan untung tetapi sebenarnya rugi.

“Jadi apabila kita nak semak balik hal itu, dia memakan masa. Selepas itu barulah kita boleh serahkan untuk audit dan baru buat laporan,” katanya semasa ucapan penggulungan sesi debat di Sinar semalam.

Pada masa sama, ahli Parlimen Parit Buntar itu memberitahu bahawa laporan kewangan berakhir pada tahun 2018 dijangka akan dibentang pada Mac lalu, namun terbantut disebabkan Langkah Sheraton.

Naib Presiden AMANAH itu turut mengingatkan agar isu laporan kewangan TH tidak dibangkitkan lagi oleh kerana Menteri Agama sudah mengakui bahawa laporan tersebut sudah berada di kementeriannya.

“Menteri sudah jawab dalam ucapan baru ini dan mengakui bahawa sekarang (laporan) sudah berada di dalam tangan kerajaan PN.

“Jangan ulang lagi isu murahan ini hanya untuk menimbulkan rasa tak percaya pada PH. Saya dah berulang kali jawab.

“Sama sekali tidak membabitkan isu ianya disembunyikan,” katanya lagi

Pada masa sama, Mujahid menyifatkan ucapan penggulungan Abdul Azeez sama sekali tidak menyentuh dan menjawab tentang apa yang dibangkitkannya dalam perdebatan semalam.