‘Jangan undi kati dan bulan, undi Pakatan Harapan’

‘Jangan undi kati dan bulan, undi Pakatan Harapan’

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menyeru pengundi supaya tidak tersalah pilih dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 yang akan datang.

Beliau membuat seruan tersebut dihadapan ribuan hadirin yang membanjiri Padang Kota sempena sambutan 10 tahun pemerintahan kerajaan Pulau Pinang semalam.

“Undilah Pakatan Harapan dan jangan undi kati (dacing), jangan undi bulan.

“Jika 10 tahun lalu, kita berjaya ubah kerajaan Pulau Pinang.

“Kini kita ingin pula mengubah kerajaan Putrajaya dalam PRU yang akan datang, ” ujarnya lagi sambil mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Ribuan hadirin yang hadir di Padang Kota malam tadi sempena sambutan 10 tahun pemerintahan Pakatan Harapan di Pulau Pinang di bawah kepimpinan DAP.

Malah ujarnya lagi, usaha untuk mengambil alih Putrajaya adalah bagi menukar kerajaan kleptokrasi yang sedang dipimpin oleh Najib.

“Sekiranya Indonesia dan dunia luar berani mengecam Perdana Menteri negara ini sebagai pemimpin yang korup.

“Agak menghairankan bagaimana tiada sebarang pertuduhan dan siasatan terhadap beliau dalam negara ini.

“Sedangkan tindakan telah pun diambil oleh negara luar termasuk merampas aset yang melibatkan 1MDB dan kecurian wang negara, ” tegasnya.

Beliau juga berkata PH mempunyai iltizam yang tinggi bagi memastikan perubahan negara menjadi realiti tidak lama lagi.

“PH adalah gabungan pertama yang berani untuk membawa perubahan yang tidak pernah dilakukan oleh parti lain termasuklah mengumumkan kepimpinan untuk menerajui negara.

“Pengumuman Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri membuktikan PH berani untuk menyatakan pendirian.

“Lebih berani apabila PH mampu mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘Prime Minister in Waiting’ , ” jelasnya.

Barisan kepimpinan Pakatan Harapan yang hadir pada sambutan ke 10 pentadbiran kerajaan negeri.

Selain Mohamad Sabu turut menyampaikan ucapan ialah Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Turut hadir Ketua Menteri, Lim Guan Eng serta kepimpinan kerajaan negeri.

Manakala pengumuman mengenai pengagihan kerusi Dun bagi AMANAH, PKR, DAP dan PPBM turut diumumkan oleh Ketua Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah.

AMANAH diperuntukan tiga kerusi, PKR empat belas kerusi, PPBM empat kerusi dan DAP sebanyak 19 kerusi.

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0