Malaysia Dateline

Jangan usik RM45 bilion dana rakyat untuk kontraktor kroni, kata Guan Eng

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mengingatkan bahawa suntikan fiskal sebanyak RM45 bilion perlu diagihkan secara terus kepada rakyat seperti yang dijanjikan kerajaan, dan bukannya diberi kepada kontrak kroni.

Beliau berkata, perkara tersebut telah dinyatakan dengan jelas dan dipersetujui oleh menteri kewangan semasa siri perundingan Belanjawan 2022 berikutan laporan bahawa sekurang-kurangnya RM2 bilion akan disalurkan dalam bentuk projek kepada kontraktor.

Menurutnya, beliau sama sekali tidak membantah projek pembangunan kepada kontraktor, namun kerajaan tidak sepatutnya mengusik dana terus yang diperuntukkan kepada rakyat dan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) kerana kerajaan mempunyai sumber dana yang lain.

“Salah satu tujuan utama PH menandatangani MOU adalah untuk mendapatkan dana tambahan RM45 bilion ini dalam bentuk suntikan fiskal terus kepada rakyat dan perniagaan serta PKS demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian.

“Untuk tujuan ini, sekurang-kurangnya RM30 bilion dana langsung perlu diperuntukkan untuk PKS. Baki RM15 bilion pula untuk kesihatan, manfaat kepada penciptaan pekerjaan dan bantuan kewangan untuk penganggur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Lim berkata, RM30 bilion telah pun dipersetujui menteri kewangan agar ia diperuntukkan kepada PKS.

Ini katanya, selaras dengan perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang menetapkan agar kerajaan memberi suntikan fiskal secara terus kepada rakyat sebanyak RM45 bilion.

“RM30 bilion untuk PKS ini juga telah dipersetujui oleh Menteri Kewangan selaras dengan MOU tersebut.

“DAP berharap dana itu dapat diagihkan dengan segera sebelum penghujung tahun ini bagi dipadankan dengan pembukaan semula ekonomi supaya perniagaan dan pekerjaan dapat bangkit semula dengan cepat,” katanya lagi.