Malaysia Dateline

Jangan wajibkan memakai pelitup muka di tempat awam

Kerajaan PN diharapkan tidak menjadikan pemakaian ‘face mask’ atau pelitup muka di tempat awam sebagai mandatori.

Malah sekiranya ia diwajibkan atau mandatori, tidak memakainya di tempat awam menjadi satu kesalahan dibawah Akta 342,yang membawa kepada denda sebanyak RM1000 atau juga dipenjarakan.

DR ZAIDI ZAKARIA

Bagi Pengarah Komunikasi AMANAH Negeri Pulau Pinang yang juga seorang pakar perubatan, Dr Zaidi Zakaria, semasa penularan pandemik Covid-19 dan juga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) rakyat amat tertekan apatah lagi ditambah dengan peraturan ini.

“Amat tertekan untuk mencari sumber pendapatan bagi menyara hidup keluarga dan sehingga Mei 2020, hampir 500,000 sudah hilang pekerjaan dan adalah dijangkakan 1.9 juta orang akan hilang pekerjaan menjelang akhir tahun ini sepertimana yang dilaporkan oleh media semalam.

“Kita tidak menafikan pencegahan merebaknya pandemik Covid-19 sangat penting, tetapi tidak semestinya semua aspeknya digunakan pendekatan mandatori undang-undang.

“Lebih ketara setiap kali kita perhatikan Ketua Pengarah Kesihatan juga, Datuk Nor Hisham tidak memakai ‘face mask’ ketika sidang media sepanjang PKP, walhal berdiri dalam sidang media tersebut pun sudah dikira berada ditempat awam, ” tegasnya.

Menurut Dr Zaidi lagi, menetapkan pemakaian ‘face mask’ sebagai mandatori akan menjadikan ia sebagai tindakan terpilih dalam pelaksanaannya.

Ujar beliau, yang akan berterusan menjadi mangsa adalah rakyat marhaen, sedangkan yang mempunyai ‘kabel-kabel’ lambat laun akan terlepas.

“Bukankah kita pernah menyaksikan sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan dan Exco Negeri Perak dengan selambanya ‘makan kenduri’ beramai-ramai yang begitu terang dan jelas melanggar SOP, PKP.

“Namun begitu, tiada tangkapan atau tangan digari untuk naik keatas trak atau van Polis sepertimana yang dikenakan keatas rakyat marhaen.

“Juga tidak dapat dinafikan keberkesanan pemakaian ‘face mask’, tetapi realaitinya ramai yang memakainya sebagai formaliti mematahi SOP, PKP, tetapi cara memakainya sangat tidak betul, sama sahaja dengan tidak memakainya, ” kata beliau lagi.

Pun begitu, tambah Dr Zaidi, WHO dan pengkaji perubatan belum secara konkrit dan konklusif menyatakan bahawa Covid-19 penyebarannya adalah melalui udara atau ‘airborne transmission’.

Sebaliknya, kata beliau, WHO masih lagi dengan keputusan awal iaitupenyebaran Covid-19 adalah melalui ‘respiratory droplets’ yang jarak penyebaran jangkitannya lebih kurang dua meter serta ini menjadi rujukan dan pelaksanaan kepada amalan penjarakan sosial atau ‘social distancing’ satu meter.

“Adalah dipersetujui sekiranya bukti-bukti jelas, konkrit dan konklusif menyatakan Covid-19 penyebarannya adalah melalui ‘airborne transmission’ yakni, virus Covid-19 berlegar-legar berterbangan di udara, maka adalah wajar ia diwajibkan atau mandatori pemakaian ‘face mask’ tersebut.

“Sekali lagi, Ketua Pengarah Kesihatan pernah menyatakan tidak wajib pemakaian ‘face mask’ bagi mereka yang sihat walafiat tanpa apa-apa gejala atau simptom sistem pernafasan seperti batuk dan selsema.

“Walau apa pun keputusannya, janganlah ketika rakyat amat tertekan dengan sumber pendapatan yang hilang maupun hilang pekerjaan dan ditambah lagi dengan hukuman denda RM1000 atau penjara jika gagal memakai ‘face masks’.

“Lebih baik bagi kerajaan mendidik rakyat serta jangan berputus asa ataupun hilang sabar untuk terus mendidik rakyat dan rakyat sudah pasti memerlukan pembelaan dari kerajaan yang memerintah serta bukannya penghukuman seperti yang dicanang-canangkan, “saran beliau lagi.