‘Jangan waktu pilihan raya baru MB Kedah nak bertemu penduduk’

‘Jangan waktu pilihan raya baru MB Kedah nak bertemu penduduk’

Pengerusi parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh mendakwa menteri besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah tidak mahu mendengar rintihan penduduk dua buah kampung yang diancam projek mewah.

 

 Dr Ismail Salleh

Pengerusi parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh mendakwa menteri besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah tidak mahu mendengar rintihan penduduk dua buah kampung yang diancam projek mewah.

Beliau berkata, buktinya Ahmad enggan menerima memorandum bantahan penduduk Kampung Tepi Laut, Kuala Kedah dan Kampung Bukit Pinang, Kepala Batas.

“Projek RM1.2 bilion untuk membina rumah mewah, kondominium dan sebagainya di Kuala Kedah umpama projek Dubai.

“Ia bukan pembangunan untuk rakyat miskin yang rata-ratanya adalah nelayan tepi laut, sebaliknya sebagai salah satu projek untuk mengusir penduduk miskin tanpa dibela oleh kerajaan negeri.

“Mana mungkin nelayan dapat membeli rumah yang akan dibina dengan harga sekitar RM200 ribu, sedangkan pendapatan mereka pun kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada,” katanya dalam ceramah di Guar Chempedak, semalam.

Projek tambak laut berhampiran Kampung Tepi Laut, Kuala Kedah akan memusnahkan hutan paya bakau dan mengancam sumber pendapatan 500 keluarga nelayan pantai di kawasan itu.

Sejak projek itu dimulakan, nelayan pantai di sekitar kawasan itu mengadu hasil tangkapan mereka telah berkurangan antara 20 hingga 30 peratus sehari.

Kesan itu melibatkan semua jenis tangkapan termasuk ikan, udang, ketam, siput, kerang dan lala.

Sebelum ini, nelayan berkenaan memperoleh pendapatan mencecah RM100 sehari tetapi sekarang hanya mendapat antara RM40 hingga RM80 sehari.

Dr Ismail juga berkata, 200 keluarga yang terlibat amat mengharapkan keprihatinan Ahmad dengan menghantar wakil untuk menemuinya, tapi sebaliknya enggan menerima dan mendengar suara mereka.

“Begitu juga dengan projek pembangunan di Bukit Pinang yang akan dibangunkan dengan projek perumahan oleh anak syarikat kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri tidak berbincang dengan penduduk terlibat yang miskin lagi hidup melarat.

“Sebaliknya penduduk diarah untuk berpindah tanpa rasa belas dan kasihan kerajaan Umno dan BN yang sedang memerintah,” tegasnya lagi.

Tambahnya lagi, kedua-dua kumpulan tersebut turut menerima nasib yang sama apabila suara mereka enggan didengari oleh kerajaan negeri.

“Sikap MB yang tidak mahu mendengar derita rakyat bukanlah sifat yang terpuji.

“Kini penduduk kedua-dua kampung terpaksa mengadu kepada Parti Amanah dan Pakatan Harapan untuk mendapat bantuan.

“Kita akan terus mendesak kerajaan negeri pimpinan Ahmad Bashah supaya mendengar suara rakyat yang miskin dan hidup melarat,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada Ahmad agar tidak hanya bertemu penduduk ketika menjelang pilihan raya sahaja.

“Janganlah apabila begitu hampir dengan pilihan raya barulah MB hendak terhegeh-hegeh masuk kampung untuk mendengar suara rakyat miskin.

“Selesaikan masalah ratusan keluarga kedua-dua buah kampung ini sebelum menjelangnya pilihan raya umum yang akan datang.

“Buktikan bahawa kerajaan negeri pimpinan Umno dan BN boleh selesaikan masalah penduduk miskin yang telah pun meluahkan kesukaran hidup mereka.

“Apakah kerajaan negeri hanya bersandiwara menjelang pilihan raya atau sanggup membiarkan rakyat susah dan derita tanpa dibela,” katanya.

Hadir sama dalam program ceramah tersebut ialah Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil dan kepimpinan DAP serta Bersatu.

 

TAGS