Jangan wiridkan PH satu penggal, kata Dr Dzulkefly

Jangan wiridkan PH satu penggal, kata Dr Dzulkefly

Dakyah yang sedang dimainkan bahawa Pakatan Harapan (PH) adalah kerajaan satu penggal tidak harus menjadi wirid kepada mana-mana pimpinan dalam AMANAH maupun PH.

Sebaliknya wirid-wirid tersebut tidak sepatutnya menjadi amalan yang akan melemahkan semangat dan perjuangan yang sedang dilakari oleh PH.

Dr Dzulkefly disamabut ketika majlis Hi Tea di Seberang Jaya semalam.

Demikian dinyatakan oleh Pengarah Strategi AMANAH, Dr Dzulkefly Ahmad, ketika majlis Hi-Tea bersama dengan pimpinan AMANAH Pulau Pinang di Seberang Jaya semalam.

“Setiap orang yang berada dalam PH dan sedang mentadbir kerajaan negeri maupun kerajaan Pusat merupakan anggota yang amat penting dalam kepimpinan kerajaan.

“Justeru itu samada kepimpinan yang ada kini diperingkat negeri maupun Pusat akan mampu untuk mentadbir sehingga ke penghujung penggal mesti dibuktikan dengan penuh kesungguhan.

“Kita dalam PH juga tidak menghadapi krisis keyakinan rakyat yang didakwa akan menjunam dan menguburkan pemerintahan kini, sebaliknya kita tetap meneruskan agenda membela nasib rakyat, ” jelasnya.

Beliau juga berkata bahawa PH tidak akan menjadi kerajaan sepenggal sepertimana yang diwiridkan selagi semua pihak termasuk kepimpinan kerajaan negeri dan pusat melaksanakan segala tanggungjawab demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Malah tegas beliau lagi agenda utama yang turut diberi perhatian serius ialah menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda serta kedudukan kewangan negara yang stabil.

Yang paling utama ujarnya, kemakmuran bersama merupakan suatu perkara yang amat mustahak perlu diberi pertimbangan serius kerana ia memberi anjakan yang besar bagi pembangunan negara.

Tambah beliau, apabila kemakmuran dan keharmonian menjadi realiti, ia mampu untuk menggarap dan menyelesaikan pelbagai masalah pembangunan negara serta boleh mengembalikan kekuatan kepimpinan dan keyakinan rakyat dalam tempoh yang panjang,

Turut hadir ialah Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil serta kepimpinan AMANAH kawasan AWAN dan juga Pemuda negeri Pulau Pinang.