Janganlah politikkan lagi isu pencemaran Sungai Kim Kim, rayu Dr Sahruddin

Janganlah politikkan lagi isu pencemaran Sungai Kim Kim, rayu Dr Sahruddin

“Ini adalah ujian untuk menyatukan kita. Berhentilah menangguk di air yang keruh. Jangan mengeruhkan lagi keadaan yang kita semua sedang hadapi di Pasir Gudang ketika ini.”

Demikian suara hati Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri Johor, Dr Sahruddin Jamal susulan isu pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Sahruddin menerusi hantaran Facebooknya, menyingkap kembali bagaimana beliau dan sahabat-sahabat dunia perubatannya menghulurkan bantuan ketika banjir besar melanda Kelantan pada 2014 lalu.

Katanya, ketika itu, tiada taruhan politik dan bantuan dihulurkan tanpa mengira bendera parti.

“Waktu itu tidak ada Pas, Umno atau DAP. Kita semua bersatu padu sebagai rakyat Malaysia.

“Saya lihat semuanya bersatu melaksanakannya atas dasar semangat negara bangsa,” ujarnya.

Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kepong, memberitahu, ketika banjir besar berlaku di negeri paling hujung di Pantai Timur itu, beliau dan rakan-rakan perubatannya sanggup mengambil cuti.

“Kami para doktor pada ketika itu, sanggup ambil cuti dan pergi ke sana dengan modal sendiri, lengkap dengan peralatan asas dan ubat-ubatan untuk membantu.

“Ini adalah ‘common sense’… Semangat kemanusiaan…

Saya sendiri berkampung di Kuala Krai berhari-hari bersama rakan taulan…,” katanya.

Justeru, Sahruddin menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan lagi isu tumpahan bahan kimia ini.

“Hari ini Pasir Gudang menguji hati kita semua khususnya rakyat Johor… Cuma berbezanya kali ini, saya sudah jadi wakil rakyat… Apatah lagi tanggungjawab saya juga besar kerana memegang portfolio Kesihatan dan Alam Sekitar di negeri Johor.

 

“Saya juga menyeru, berhentilah menyebarkan berita-berita yang tidak benar… Siapa yang suka melihat kejadian begini berlaku?

“Kami sudah bermesyuarat sejak minggu lalu. Siang dan malam saya dan rakan-rakan bekerja keras bagi menangani bencana ini.

“Terus berdoa supaya semuanya berjaya di atasi dengan baik.

Saya akan terus bekerja untuk rakyat Johor,” tambah Sahruddin lagi.