Malaysia Dateline

Jangkaan ekonomi meleset dan Bajet 2023 – Pakar ini takut Malaysia jadi ‘kesan burung unta’

Pakar ekonomi mengingatkan bahawa pembentangan Belanjawan 2023 pada 7 Oktober ini perlu menyediakan langkah menghadapi jangkaan ekonomi meleset tahun hadapan.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali menegaskan dunia sibuk membincangkan kemeseletan ekonomi tahun depan.

“Satu dunia bincang suasana ekonomi tahun depan itu macam nak runtuh ekonomi dunia… Semua seminar saya sertai bercakap mengenai betapa gusarnya mereka tentang ekonomi akan datang.

“Tapi kita tidak bercakap tentang kegusaran ini. Saya takut Malaysia jadi ‘kesan burung unta’. Burung unta kalau ada masalah sorok kepala dalam tanah, supaya tak nampak masalah, maka tidak ada masalah itu,” katanya.

Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan di MPN itu juga berkata usah mengatakan bahawa ekonomi berada pada landasan baik tetapi realitinya Malaysia berdepan cabaran getir.

“Kita sepatutnya bercakap mengenai senario ekonomi tahun depan dan apa kesannya kepada negara dan sektor mana yang terkesan.

Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali

“Contohnya bila cakap kadar tukaran asing semua akan merujuk kepada Amerika Syarikat (AS).

“Cuba kata itu bukan bawah kawalan kita, kalau AS terus menaikkan lagi kadar faedah, nilai mata wang kita akan terus menurun, siapa yang terkesan?

“Jangan bercakap ekonomi berada pada landasan baik, hakikatnya berhadapan cabaran besar,” dipetik BH Online.

Prof Dr Noor Azlan berkata demikian sebagai panel webinar Pra Bajet 2023 anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) semalam.

Sehubungan itu, beliau berpendapat kesan kenaikan kadar faedah AS terhadap Malaysia dan impak kemelesetan global yang dijangka berlaku tahun depan daripada pelbagai segi perlu difahami secara terperinci.

“Jadi, apa untungnya harga barangan kita murah, boleh eksport lebih tetapi permintaan dunia tahun depan dijangka tidak ada, amat penting untuk kita meletakkan senario 2023 dan memahami siapa dan sektor mana yang akan terkesan,” katanya.

Tambahnya lagi, kumpulan berpendapatan rendah yang membabitkan 50 peratus isi rumah merupakan golongan rentan yang paling terkesan dengan kemelesetan ekonomi.

Baca juga Awas krisis ekonomi dunia – Rakyat UK dah mula potong kayu sendiri, protes mega bantah harga gas, bahan api naik mendadak

Baca juga Dera kanak-kanak sampai maut, jurujual dan pembantu rumah ditahan