Malaysia Dateline

Jangkitan baharu Covid-19 melonjak menjelang Ramadan

Jangkitan baharu Covid-19 hari ini melonjak kepada 1,739 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini sebanyak 360,856.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM ) merekodkan 1,510 kes baharu dengan pertambahan lapan kematian.

Daripada jumlah kes dilaporkan hari ini, 1,731 kes merupakan penularan tempatan dengan 77.6 peratus atau 1,343 warganegara dan 23.4 peratus atau 388 warga asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, lapan kes import dikesan membabitkan tiga warganegara dan lima bukan warganegara.

“Sejumlah 56 kes (3.2 peratus) yang dilaporkan berkaitan kluster di penjara membabitkan Kluster Telok Mas (44 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (sembilan) dan Kluster Tembok Tapah (tiga),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, Selangor terus mencatat jumlah kes harian tertinggi hari ini dengan 535 kes dicatatkan hari manakala tiada kes dilaporkan di Perlis dan Labuan pula mencatat bilangan kes terendah iaitu empat kes.

Setakat jam 12 tengah hari, Sarawak merekodkan 443 kes diikuti Sabah (127) dan Pulau Pinang (113).

Sementara itu, terdapat 1,216 kes pulih menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh mencecah 343,953 atau 95.3 peratus daripada kes dilaporkan sejak Januari tahun lalu, dengan 15,574 kes aktif ketika ini.

Dalam masa sama, 183 kes masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 81 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, lapan kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan iaitu empat kes di Selangor, dua kes di Kuala Lumpur, dan masing-masing satu di Sabah dan Johor.

Jelasnya, semua kes membabitkan warganegara berusia antara 58 hingga 78 tahun terdiri daripada tiga wanita dan lima lelaki.

Tujuh daripada mangsa menghidap pelbagai penyakit kronik manakala jenazah seorang mangsa, lelaki berusia 57 tahun, dibawa ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Sehingga kini, KKM merekodkan 1,329 kes kematian atau 0.37 peratus daripada keseluruhan kes jangkitan dilaporkan.