Malaysia Dateline

Jangkitan baharu Covid-19 terus melonjak, 4,865 kes hari ini

Kes positif baharu Covid-19 di Malaysia terus mencatat lonjakan apabila 4,865 kes dilaporkan setakat tengah hari tadi.

Rekod hari ini menyaksikan kes kumulatif jangkitan Covid-19 di negara ini mencecah 479,421 kes.

Selangor masih kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,743 kes diikuti Sarawak (512), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (477), Johor (407) dan Kelantan 406 kes.

Sementara itu, dua negeri di utara Semenanjung mencatatkan lebih 200 kes hari ini iaitu Kedah (244 kes) dan Pulau Pinang 220 kes.

Lima negeri lain melaporkan lebih 100 kes baharu Covid-19 iaitu Perak (160), Terengganu (156), Pahang (152), Negeri Sembilan (149) dan Melaka 127 kes.

Sabah yang akhir tahun lalu mencatatkan kes harian tinggi, hari ini hanya merekodkan 95 kes baharu manakala tiga negeri dan wilayah mempunyai cuma satu digit kes jangkitan iaitu Putrajaya (9 kes), Labuan (6) dan Perlis dua kes.

Dalam hal berkaitan, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Twitter hari ini memberitahu jumlah kluster aktif meningkat 8.6 peratus bagi minggu 19 iaitu 9 hingga 15 Mei.

Sepanjang tempoh sama itu juga, jumlah kes baharu berkaitan kluster naik 4.6 peratus
selain berlaku pertambahan kluster keagamaan dan kumpulan berisiko tinggi.

Hanya jumlah kluster baharu dalam minggu lalu mencatatkan penurunan 4.7 peratus.