Malaysia Dateline

Jangkitan baharu Covid-19 terus melonjak ke angka tertinggi 3,027 kes

Malaysia terus menyaksikan lonjakan kes baharu Covid-19 apabila sejumlah 3,027 jangkitan baharu dikesan setakat jam 12 tengah hari tadi.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan angka kes baharu harian tertinggi pernah dilaporkan itu menjadikan jumlah kumulatif mencecah 128,465 jangkitan dengan 25,221 kes aktif.

“Daripada jumlah itu, 3,021 adalah kes penularan tempatan, manakala enam lagi adalah kes import.

“Terdapat 142 kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 63 kes lagi menggunakan bantuan alat pernafasan,” kata KKM menerusi kenyataan di Facebook rasminya hari ini.

Sebanyak lapan lagi kematian direkodkan menjadikan jumlah kumulatifnya terus bertambah kepada 521 kes.

Dalam pada itu, kes sembuh yang dilaporkan hari ini adalah sebanyak 2,145 kes. Ini menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang sembuh bertambah kepada 102,723 orang di seluruh negara.

Daripada jumlah kes baharu hari ini, Johor merekodkan kes harian tertinggi dengan 1,103 jangkitan baharu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 9,002 kes.

Pertambahan kes harian turut dicatatkan di Selangor dengan 706 kes dan Sabah iaitu 494 kes.

Menurut KKM, Perlis menjadi satu-satunya negeri yang tidak mencatatkan sebarang kes Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif virus berbahaya itu di negeri paling utara itu kekal kepada 47 kes.