Malaysia Dateline

Jangkitan Covid-19 di Malaysia sudah lepasi 40,000 kes

Jumlah kes positif Covid-19 di negara ini sudah melepasi angka 40,000 selepas mencatatkan 852 kes baharu hari ini.

Rekod tersebut selepas hanya 10 hari negara mencatatkan jumlah positif Covid-19 melepasi 30,000 kes.

Bagaimanapun sebanyak 28,234 pesakit iaitu 70.2 peratus daripada 40,209 yang disahkan positif Covid-19 hari ini, telah sembuh daripada jangkitan tersebut.

Sabah terus kekal mencatatkan kes baharu positif Covid-19 tertinggi dengan 524 kes diikuti Selangor (148) dan Negeri Sembilan 104 kes.

Dua negeri pula iaitu Perlis dan Pahang tidak melaporkan kes baharu Covid-19 hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) turut memaklumkan jumlah kes aktif sebanyak 11,689 dengan 94 daripadanya sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada 94 kes di ICU itu, 32 pesakit memerlukan bantuan pernafasan setakat jam 12 tengah hari ini.

Dalam tempoh sama, empat kematian baharu direkodkan menjadikan jumlah kematian kumulatif di negara ini meningkat kepada 286 orang.

Sementara itu, terdapat 36 kluster aktif termasuk dua kluster baharu iaitu Kluster Ikhtisas yang merangkumi sekitar Selangor, Kelantan dan Negeri Sembilan serta Kluster Berendam di Melaka.

Kes baharu tertinggi dikesan dalam Kluster Lengkuk yang melibatkan kawasan sekitar Selangor dan Negeri Sembilan apabila merekodkan 69 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 138 kes.