Malaysia Dateline

Jangkitan Covid-19 dibimbangi bertambah buruk

Hampir semua negeri dan kawasan Wilayah Persekutuan, merekodkan kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) melebihi purata kebangsaan, 1.07 semalam.

Data dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menunjukkan 12 negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya, mencatatkan bacaan Rt di antara 1.08 hingga 1.35.

Nilai Rt tertinggi dicatatkan Terengganu dengan 1.35, disusuli Kedah (1.28), Melaka (1.24), Perak (1.19), Negeri Sembilan (1.17), Johor (1.16), Pahang (1.16), Selangor (1.12), Pulau Pinang (1.12), Putrajaya (1.11) Kuala Lumpur (1.09) dan Kelantan (1.08).

Sarawak pula mencatatkan Rt 1.0, manakala Sabah dan Labuan merekodkan Rt terendah semalam, masing-masing mencatat 0.94 dan 0.98.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes Covid-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin besar nilai itu, semakin tinggi kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Contohnya, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengunjurkan kes harian berisiko mencecah sekitar 5,000 sehari menjelang awal bulan depan jika Rt kebangsaan meningkat kepada 1.2.

Semalam, jumlah kes harian Covid-19 kembali melebihi 3,000 iaitu 3,120 kes berbanding 2,500 kes kelmarin dengan terdapat sebanyak 31,516 kes aktif direkodkan di seluruh negara.

Jumlah keseluruhan kes pandemik tersebut di negara ini setakat semalam pula mencecah 420,632 kes sekali gus menyaksikan Malaysia di tangga ke-43 dunia jumlah kes Covid-19.