Malaysia Dateline

Jangkitan Covid-19 lepasi 20,000 kes, jumlah sembuh tertinggi hari ini

Kes baharu positif Covid-19 terus melonjak empat hari berturut-turut dengan hari ini mencecah 871 kes membabitkan 866 penularan tempatan dan lima kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan jangkitan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara ini sebanyak 20,498 dengan 7,049 kes aktif.

Daripada 7,049 pesakit yang sedang dirawat, 86 individu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 28 orang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Sabah terus merekodkan kes positif Covid-19 baharu tertinggi dengan 702 kes hari ini dengan 49 kes daripadanya melibatkan kluster baharu Penjara Kepayan.

Sementara itu, Selangor menduduki tangga kedua dengan 77 kes diikuti Pulau Pinang (45) dan Perak 10 kes manakala tujuh wilayah atau negeri kurang 10 kes baharu.

Empat wilayah atau negeri pula tiada kes positif Covid-19 hari ini iaitu Putrajaya, Perlis, Kelantan dan Pahang.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham pada sidang media di Putrajaya petang ini memaklumkan, seramai 701 pesakit Covid-19 sembuh hari ini sekali gus jumlah kes sembuh harian tertinggi pernah dilaporkan.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, tujuh kematian baharu direkodkan menjadikan jumlah kumulatifnya 187 kes iaitu 0.91 peratus.