Malaysia Dateline

Jangkitan Covid-19 lepasi 300,000 kes, 9 lagi maut

Kes positif Covid-19 di Malaysia sudah mencecah 300,752 kes selepas bertambah lagi 2,437 kes baharu hari ini.

Daripada jumlah kes baharu, 2,435 adalah kes tempatan manakala dua individu lagi mendapat jangkitan dari luar negara.

Selangor terus mencatatkan kes baharu harian tertinggi iaitu sebanyak 914 kes diikuti Kuala Lumpur 337 kes dan Johor 340 kes.

Sementara itu, enam negeri mencatatkan kes baharu dua digit iaitu Melaka 10 kes, Pahang (11), Terengganu (12), Kedah (13), Kelantan (33) dan Negeri Sembilan (65).

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan juga memaklumkan sembilan kes kematian dilapor sehingga jam 12 tengah hari tadi menjadikan rekod keseluruhan kematian berjumlah 1,130 kes.

Sementara itu, 3,251 pesakit sembuh daripada pandemik tersebut sekali gus menyaksikan 273,417 kes sudah pulih iaitu 90.91 peratus daripada keseluruhan kes.

Dalam masa sama, terdapat 26,205 kes aktif dengan 202 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 93 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.