Malaysia Dateline

Jangkitan Covid-19 lepasi angka 120,000, lagi 7 kematian hari ini

Jangkitan Covid-19 di negara ini kini berjumlah 120,818 kes positif selepas mencatatkan lagi 1,741 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Bagaimanapun sebanyak 98,228 kes pesakit yang disahkan positif Covid-19 telah sembuh dari jangkitan yang berasal dari Wuhan, China itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kes baharu setakat tengah hari tadi, 1,733 jangkitan tempatan dan lapan kes import.

Menurutnya, daripada keseluruhan 22,089 kes aktif, seramai 122 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 53 memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 687 kes (39.5 peratus).

“Daripada jumlah ini, sebanyak 541 kes (78.7 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 303 kes (17.4 peratus) dan Johor sebanyak 295 kes (16.9 peratus),” katanya pada sidang media perkembangan jangkitan Covid-19 di negara ini, di Putrajaya, hari ini.

Dalam masa sama, beliau memberitahu terdapat tujuh kematian direkodkan menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 mencecah 501 kes.

Tiga kes kematian hari ini berlaku di Sabah, Johor (2) manakala Pahang dan Selangor masing-masing satu kes kematian.

Kecuali satu kes kematian di Hospital Keningau, enam kematian melibatkan individu yang mempunyai latar penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, jantung dan buah pinggang kronik.