Malaysia Dateline

Jangkitan Covid-19 tiada kesudahan, Langkah Sheraton susahkan rakyat

Ketika kerajaan Pakatan Harapan tumbang tahun lalu, dunia baru saja dilanda Covid-19. Sebaik saja maklumat bahawa Wuhan di China mengesan virus itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus bertindak menurut apa yang sepatutnya.

Pada mula ia diketahui pada penghujung 2019, kuman itu disebut sebagai virus Wuhan. Anggapannya bahawa ia virus Corona ini adalah tidak jauh bezanya daripada SARS yang pernah melanda beberapa negara di Asia Timur termasuk Hong Kong dan Singapura.

Walaupun ia virus yang tidak pernah dikenali sebelum ini, sebab itu ia bernama Novel Coronavirus, tetapi anggapannya ialah pihak berkuasa negara berkenaan akan dapat membendungnya. Maka anggapannya ialah, wabak ini akan hanya berakhir dalam masa beberapa bulan saja.

Dengan saringan-saringan di lapangan terbang, virus ini diharap akan dapat ditangani di China. Maka Wuhan dirasakan jauh dari Malaysia. Apa yang perlu dilakukan ialah menghalang orang Wuhan dari masuk Malaysia.

Dan orang Malaysia dihalang pergi ke Wuhan. Mudah saja. WHO pun tidak menyebutnya sebagai pandemik. Wabak itu hanya berlaku di Wuhan, malah di tempat lain di China pun tidak terjejas.

KKM tentu menyediakan diri dalam menghadapi wabak baharu yang penuh misteri ini. Ketua Pengarahnya, Dr Hisham Abdullah tentu memberi taklimat pada Menteri Kesihatan kerajaan Pakatan Harapan, Dr Dzulkefly Ahmad dan juga timbalannya, Dr. Lee Boon Chye.

Dr Dzulkefly adalah Ahli Parlimen Kuala Selangor dari Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Dr Lee Boon Che adalah Ahli Parlimen Gopeng dari Parti Keadilan Rakyat (PKR). Mereka dipilih oleh majoriti pengundi di kawasan masing-masing bagi mewakili rakyat.

Pilihan pengundi ini juga merupakan sokongan mereka terhadap Pakatan Harapan yang diketuai Dr Mahathir Mohamad untuk membentuk kerajaan. Inilah apa yang disebut sebagai Mandat Rakyat.

Konsep Mandat Rakyat ini perlu difahami. Walaupun ahli-ahli parlimen boleh melompat parti sesuka hati semasa dalam pertengahan penggal tetapi dari segi moral, mereka wajar menghormati Mandat Rakyat sehingga tamat penggal. Mandat Rakyat menghendaki Pakatan Harapan menjadi kerajaan.

Dr Dzulkefly  dan Dr Lee memimpin KKM dengan baik selama 22 bulan. Rakyat pun tidak lupa usaha beliau untuk melawan amalan merokok. Orang ramai dilarang merokok di kedai-kedai makan.

Larangan merokok ini penting untuk mengurangkan kesan buruk kesihatan termasuk kanser paru-paru. Kerana akhirnya kerajaan akan menanggung kos perubatan yang tinggi akibat penyakit-penyakit ini. Akhirnya, kos ini akan ditanggung juga dari wang rakyat.

Apabila wabak Covid-19 itu mula dimaklumkan pada KKM melalui WHO, tentunya Dr Dzulkefly membawa perkara itu pada Kabinet. Ekoran itu, Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad menubuhkan jawatankuasa tertinggi untuk menanganinya. Beliau melantik Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengerusinya.

Dr Mahathir, Dr Wan Azizah, Dr Dzulkefly, Dr Lee dan Dr Hisham, semuanya doktor perubatan. Mereka berasa bahaya virus dari Wuhan itu. Tetapi ia masih merupakan misteri dan WHO pun belum mengisytiharkannya sebagai pandemik.

Negara sedang mula dilanda wabak Covid-19 ketika Perikatan Nasional menjadi kerajaan.

Pada penghujung tahun 2019, tentu ada rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan virus ini melalui laporan televisyen antarabangsa China, CCTV yang menyiarkan laporannya setiap malam.

Di Malaysia, secara bergilir, Dr Dzulkefly, Dr  Lee dan Dr Hisham mengadakan sidang akhbar setiap hari mengenai perkembangan Covid-19. Para pemberita bebas untuk menanya apa saja soalan, dan mereka pun bebas menyiarkannya. Seperti mana WHO juga mengadakan sidang akhbarnya di Geneva, Switzerland.

Akhirnya, Covid-19 masuk ke Malaysia melalui pelancong China yang datang melalui Singapura. Mereka dikuarantin di Hospital Sungai Buloh dan kemudian sembuh. Untuk sementara itu, tidak ada kes baharu.

Tidak lama kemudian kerajaan Pakatan Harapan tumbang. Ada ahli-ahli parlimen PKR dan Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan dan bergabung dengan ahli parlimen Umno, Pas dan parti-parti Sarawak dan Sabah bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Kerajaan Perikatan Nasional tiada Mandat Rakyat seperti yang diperoleh oleh Pakatan Harapan. Tidak ada pengundi yang mengundi Perikatan Nasional untuk menjadi kerajaan.

Mereka mengundi ahli-ahli parlimen yang melompat itu untuk menubuhkan kerajaan Pakatan Harapan, bukannya untuk menubuhkan kerajaan lain seperti Perikatan Nasional.

Jadi, kerajaan Perikatan Nasional hanya ada Mandat Ahli Parlimen atau Mandat Wakil Rakyat. Tetapi dengan negara sedang mula dilanda wabak Covid-19 dan mereka menjadi kerajaan pada waktu ini, maka mandat utama yang mereka perlu pegang ialah usaha untuk mengatasinya.

Maknanya, kerajaan Perikatan Nasional tidak boleh bergerak seperti pentadbir biasa. Ini kerana dengan adanya wabak Covid-19, fokus utama negara adalah sewajarnya mengalahkannya dan mengatasi masalah ekonomi, politik dan sosial yang timbul akibatnya.

Seharusnya ia sewajarnya tanggungjawab kerajaan Pakatan Harapan kerana wabak ini berlaku ketia pertengahan penggal pentadbirannya. Sepatutnya tumpuan anggota kerajaan itu adalah melawannya.

Mandat Rakyat yang dipegangnya meletakkan tanggungjawab mengatasi Covid-19 di bahu mereka. Sewajarnya, dalam keadaan negara di ambang wabak itu, menteri-menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan tidak ada berkonspirasi untuk menumbangkan kerajaan sendiri.

Malangnya, itulah yang berlaku. Ada menteri dalam Kabinet Mahathir telah merekayasa Langkah Sheraton hingga menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan. Untuk beberapa hari negara berada dalam keadaan tidak menentu. Pentadbiran Perdana Menteri interim tanpa Kabinet dan tanpa Menteri Kesihatan sedangkan wabak Covid-19 terus melanda.

Apabila kerajaan Perikatan Nasional ditubuhkan, sudah tentu mereka berdepan dengan wabak ini. Tumpuan negara adalah sepatutnya pada menangani wabak ini. WHO pun sudah mengisytiharkannya sebagai pandemik. Sepatutnya tidak ada politiking dalam tempoh ini.

Sebahagian besar rakyat tentulah kecewa dengan pergolakan politik ini kerana kerajaan Pakatan Harapan tidak ada masalah besar untuk dijadikan sebab baginya untuk ditumbangkan. Bukannya ada skandal sebesar 1MDB. Malah, proses sedang berlangsung untuk membersihkan sistem pentadbiran negara daripada korupsi.

Tetapi Langkah Sheraton sudah berlaku. Untuk berundur ke belakang merumitkan keadaan ketika mana negara diancam wabak Covid-19. Jadi, harapan rakyat adalah kerajaan Perikatan Nasional dapat mengatasinya. Maka ia sedang memegang mandat mengatasi Covid-19 hingga selesai.

Beberapa hari selepas penubuhan kerajaan Perikatan Nasional, Perdana Menterinya mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan. Negara memperoleh Menteri Kesihatan dan dua Timbalan Menteri Kesihatan. Menteri adalah dari Umno, timbalan-timbalannya dari Bersatu dan Parti Rakyat Sarawak.

Pada awalnya, orang ramai berasakan bahawa PKP ini tidaklah lama. Tetapi dengan di luar jangkaan, ia memakan masa dan barulah rakyat sedar mengenai sifat virus Covid-19. Namun, rakyat memberi kerjasama dalam mematuhi PKP.

Politik sepatutnya diketepikan kerana tumpuan negara adalah pada melawan wabak itu sehingga selesai. Malangnya, apa yang berlaku ialah politiking berlaku juga.

Setelah lebih setahun berlalu, lihatlah prestasi kerajaan Perikatan Nasional menangani wabak itu. Angka jangkitan turun naik dengan tidak nampak kesudahannya. Pada waktu ini tidak nampak lagi penyelesaiannya.

Kesan ekonomi bertambah membimbangkan. Tidak boleh sesiapa mengatakan ia satu kejayaan. Mandat untuk menyelesaikan wabak ini belum dapat dipenuhi.

Akhirnya apa yang perlu disebut ialah Langkah Sheraton itu menyusahkan negara dan rakyat. Ia adalah suatu yang tidak perlu. Penjajaran politik itu adalah sia-sia, membuang masa dan tenaga.

Ia menghakiskan keyakinan rakyat terhadap agli-ahli politik dan sistem demokrasi. Akhir sekali ia mengganggu tumpuan negara untuk menghadapi wabak Covid-19.