Malaysia Dateline

Jangkitan varian Delta kuasai Sarawak

Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mengesahkan varian Delta kini merupakan varian Covid-19 yang dominan di Sarawak.

Pengarah IHCM Prof Dr. David Perera berkata, sejumlah 303 varian yang membimbangkan (VOC) tambahan telah dikesan daripada 307 kes positif di negeri ini pada 31 Ogos lalu melibatkan varian Delta (B.1.617.2).

“Keseluruhan varian Delta dikesan pada kadar 99 peratus diperhatikan dalam laporan ini dan ia mewakili peningkatan dari 82 peratus yang dilaporkan oleh IHCM pada 2 Ogos baru-baru ini.

“Malah, data ini menunjukkan varian Delta adalah varian dominan yang tersebar luas di Sarawak pada masa ini,” ujarnya.

Dr David berkata demikian dalam laporan terbaharunya kepada ketua Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah di Kuching.

Jelas Dr. David, varian Delta turut dikesan di Bahagian Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Mukah, Miri dan Limbang dan kes Import A dengan kadar pengesanan 100 peratus.

“Manakala Bahagian Sibu dan Kapit pula mencatatkan 97 peratus sementara bahagian Bintulu 98 peratus,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, JPBN memutuskan keputusan ujian RT-PCR atau RTK-Antigen tidak diperlukan bagi pergerakan merentas daerah di Sarawak kecuali untuk Bahagian Bintulu berkuatkuasa 14 September 2021.

Bagaimanapun, kata JPBN orang ramai masih perlu mendapatkan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi pergerakan rentas daerah di seluruh negeri ini.