‘Janji dapat undi murid sekolah’

‘Janji dapat undi murid sekolah’

Selepas gempar majlis Umno diadakan di Sekolah Kebangsaan Presint 14, Putrajaya pada awal bulan lalu, satu lagi program bermotifkan politik parti diadakan di Hulu Selangor baru-baru ini.

Tular di media sosial, gambar murid-murid sekolah rendah mengangkat plakad tertera “Love YB Johan” serta foto yang menampilkan kehadiran Ketua Umno Bahagian Hulu Langat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz.

Mengulas program pada 4 November di Sekolah Kebangsaan Beranang itu, Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Abbas Azmi menyifatkan Umno-BN pada masa ini sudah terlalu terdesak untuk meraih sokongan sehingga memperalat murid sekolah.

Abbas Azmi

“Nak pilihan raya ini tak dapat undi daripada pengundi pun tidak mengapa. Janji dapat undi daripada anak-anak sekolah rendah,” sindirnya.

Menurutnya, umum mengetahui sekolah bukan tempat untuk kempen pilihan raya tetapi hal tersebut dilihat tidak dihormati pemimpin Umno-BN.

“Boleh pula berkempen dalam sekolah?” soal Abbas lagi merujuk kepada program atas nama Jelajah Siswa Selangor (Mitases UPSR) Parlimen Hulu Langat itu.

Semakan Malaysia Dateline di Facebook “SK Beranang – Rasmi” mendapati empat gambar tanpa kapsyen sempena program itu turut dimuatnaik semalam.

Tiga daripada foto terbabit menampilkan kehadiran Johan di atas pentas dewan sekolah itu termasuk ketika menyampaikan anugerah kepada murid.

Ketua Umno Bahagian Hulu Langat (berbaju batik) di Sekolah Kebangsaan Beranang.

Bagaimanapun, tiada gambar murid memegang plakad “Love YB Johan” dimuatnaik dalam Facebook rasmi sekolah itu.

Pada 3 Oktober lalu, laungan “Hidup Umno” oleh kira-kira 500 murid dan guru sebuah sekolah di Presint 14 Putrajaya bergema selepas Setiausaha Agung Umno yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan selesai memberi ucapan.

Program pertandingan menghias bilik darjah dan upacara penyampaian hadiah itu juga menggunakan tema “Umno dan Kemerdekaan” selain menghidangkan pelbagai juadah termasuk pulut kuning berbentuk bendera Umno.

6.8
OVERALL SCORE
: 9.0
3 user votes x 6.0