Malaysia Dateline

Janji Khairy kongsi data Covid-19 bukti dakwaan Selangor benar

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mula mengeluarkan data Covid-19 dan vaksinasi lebih terperinci dengan menerapkan perkongsian sumber secara terbuka, mulai minggu depan.

Perkara itu diumumkan menterinya, Khairy Jamaluddin yang berkata, ia bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada data dengan mudah dan terperinci sepanjang proses kerajaan menangani wabak Covid-19.

Pengumuman Khairy itu membuktikan dakwaan Selangor selama ini adalah benar bahawa KKM tidak berkongsi data Covid-19 sehinggakan kerajaan negeri mendakwa mereka tiada maklumat penuh untuk mencegah wabak tersebut.

Khairy dalam sidang medianya semalam, memberi jaminan bahawa selepas ini semua pihak akan melihat data yang lebih banyak berbanding data yang telah dibekalkan selama ini.

“Saya buat ketetapan budaya kerja KKM lebih kepada ketelusan supaya soal kepercayaan kepada kerajaan dan respons KKM tidak lagi ada kerahsiaan, dan tidak ada tuduhan maklumat tidak dapat diperolehi daripada kerajaan,” katanya.

KKM dikenalpasti telah menghentikan perkongsian data pandemik Covid-19 dengan semua negeri sejak September tahun lalu.

Selangor menjadi antara negeri yang terkesan dengan tindakan itu memandangkan aplikasi SeLangkah yang dibangunkan kerajaan negeri tidak dapat melakukan pengesanan kontak dengan cepat dan sempurna tanpa data nasional tersebut.

Menteri Kesihatan terdahulu, Datuk Seri Adham Baba pernah diingatkan untuk tidak bermain politik dan mengenepikan peranan kerajaan Selangor untuk mendapatkan maklumat penting daripada KKM.