Malaysia Dateline

Janji komputer riba tapi tidak kunjung tiba, Syed Saddiq akan ‘bising’ di Parlimen

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat lantang mengecam kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung kegagalan agihan 150,000 komputer riba kepada pelajar seperti diluluskan dalam Belanjawan 2021.

Pengasas bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu turut mempersoal jadual persekolahan yang tidak menentu ditetapkan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Sekolah tutup, buka, tutup, buka, tutup… Laptop 150,000 yang dijanjikan tak sampai sampai.

“Apa susah sangat?” tempelak bekas Menteri Belia dan Sukan itu menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Beliau menegaskan anak-anak pada masa ini menderita kerana ketidakcekapan kerajaan PN.

Sehubungan itu, Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan akan membangkitkan hal tersebut di Dewan Rakyat nanti.

“Jangan nak diamkan saya di Parlimen. Saya akan tuntut jawapan dari kerajaan,” tegasnya lagi.

Ramai pelajar sekolah dari keluarga B40 dan kawasan pedalaman berhadapan gangguan pembelajaran sekali gus dibimbangi tercicir daripada mengikuti pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semasa pembentangan Belanjawan 2021, kerajaan mengumumkan pemberian komputer riba kepada 150,000 murid di 500 sekolah sebagai projek rintis bagi mengurangkan beban masalah pembelajaran secara dalam talian.

Walau bagaimanapun, jumlah itu dilihat jauh daripada mencukupi memandangkan negara mempunyai hampir 4.8 juta pelajar sekolah rendah dan menengah.

Pemberian komputer riba menerusi inisiatif CERDIK itu dijadualkan sepatutnya dilaksanakan bermula Februari lalu.

Inisiatif itu menyediakan akses digital meliputi komputer riba, tablet dan sambungan data untuk pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.