Sebelum berkahwin pelbagai janji manis ditaburkan konon diri kaya dan mampu memberikan kemewahan sekali kantoi harta dimiliki bukan hak sendiri.
Tak cukup dengan itu, kahwin pula dengan ramai wanita dan peras ugut isteri sendiri untuk teruskan gaya hidup mewah.
Lelaki berusia 34 tahun di bandar Bhubaneswar, Satyajit Samal ditahan selepas berkahwin dengan lima wanita lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Tidak cukup itu suspek juga menyamar sebagai anggota polis untuk memeras wang daripada mereka.
Menurut Pesuruhjaya Polis Bhubaneswar, Sanjeeb Panda, suspek dikatakan berinteraksi dengan 49 wanita lain di laman mencari jodoh dan bercadang untuk mengahwini mereka.
“Selepas menerima aduan berasingan daripada dua isterinya, polis berjaya menahan suspek.
“Ini adalah selepas seorang pegawai polis wanita yang menyamar jadi pelanggan datang menemuinya,” kata Sanjeeb.
Pada masa sama, polis juga menemui sebuah kereta, motosikal, wang tunai 210,000 rupee (RM11,272.51), pistol dan beberapa peluru serta dua sijil perjanjian perkahwinan.
Dah ada lima isteri
Dalam pengakuan, suspek memaklumkan mempunya dua isteri dari Odisha, seorang dari Kolkata dan Delhi manakala identiti wanita kelima tidak dimaklumkan.
“Tiga akaun simpanan milik Satyajit telah dibekukan. Suspek pernah meminta wang tunai dan kereta selepas berjanji untuk mengahwini mereka (mangsa).
“Dia kemudian mengugut menggunakan pistol sekiranya mangsa meminta wang mereka kembali,” tambahnya.
Salah seorang mangsa memaklumkan dia terpaksa mengambil pinjaman peribadi daripada bank untuk beli sebuah kereta bernilai 815,000 rupee (RM43,748.10).
Malah mangsa turut memberikan suspek 36 juta rupee (RM1.93 juta) untuk memulakan perniagaan.
“Suspek menggunakan wang tersebut untuk mengekalkan gaya hidup mewah.
“Kami menjangkakan lebih ramai wanita yang mungkin telah ditipu olehnya akan tampil selepas penahanannya,” kata Sanjeeb.