Malaysia Dateline

Janji PN isytihar harta ditenggelami isu wabak Covid-19

Pengumuman mengenai pengisytiharan harta yang perlu dilakukan oleh Jemaah Menteri Perikatan Nasional (PN) dilihat masih belum dapat dilaksanakan.

Penganalisis Politik, Prof Dr Azmi Hassan berpandangan, ini kerana apabila pengumuman tersebut dibuat, iaitu dua hari selepas pembentukan kabinet, isu Covid-19 di negara ini pada ketika itu belum mendapat perhatian serius.

“Tetapi seminggu selepas itu, pandemik Covid-19 menjadi lebih serius sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama diisytiharkan pada 18 Mac lalu.

“Bermula dari tarikh itu, isu isytihar harta anggota kabinet terus tenggelam kerana perhatian diberikan sepenuhnya dalam mengharungi era PKP ini.

“Perdana Menteri (PM) pun tidak pernah menimbulkan isu ini secara umum kerana kemungkinan beliau tidak mahu menteri kabinetnya hilang fokus terhadap tanggungjawab mereka,” katanya kepada Malaysia Dateline, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pengisytiharan harta barisan menteri kabinetnya.

Pada 11 Mac lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, semua anggota Kabinet dikehendaki mengisytiharkan harta dan mereka diberi tempoh sebulan untuk melakukannya.

Jemaah Menteri diingatkan tentang komitmen untuk menentang dan banteras rasuah pada mesyuarat Kabinet sulung yang dipengerusikan Perdana Menteri, pagi 11 Mac itu.

“Saya beritahu semua Jemaah Menteri supaya isytihar harta dan kita minta dalam tempoh sebulan (isytihar) kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) seperti dibuat hari ini (11 Mac),” kata Muhyiddin seperti dipetik BH Online.