Malaysia Dateline

Janji temu vaksinasi rakyat hari ini mengecewakan

Amatlah mengecewakan apabila berlakunya kesesakan laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) dengan ratusan ribu mahupun jutaan rakyat Malaysia yang ingin memohon bagi mendapatkan janji temu vaksin AstraZaneca tidak berjaya dilaksanakan hari ini sepertimana yang dijanjikan.

Setiausaha Pejuang Muda Malaysia (PEJUANG), Ahmad Aizat Khalid, melalui kenyataan beliau kepada Malaysia Dateline hari ini berkata, sepertimana yang telah dijanjikan semalam, tempahan janji temu ini akan dibuka pada hari ini 26 Mei 2021 mulai jam 12 tengahari buat seluruh rakyat Malaysia berumur 18 tahun keatas.

Namun begitu katanya, setelah beberapa minit dibuka laman sesawang tersebut jelas mengalami kesesakan dengan ratusan ribu maupun jutaan rakyat Malaysia yang ingin memohon mendapatkan janji temu vaksin AstraZaneca.

“Ia secara langsung jelas menunjukkan kerisauan rakyat di tahap yang begitu tinggi dengan laporan kes harian yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini serta amat mengecewakan apabila laman sesawang pendaftaran tersebut tidak mampu menampung jumlah yang begitu besar rakyat yang ingin mendapatkan temu janji vaksin tersebut.

“JKJAV perlu sedar dengan begitu ramai sekali rakyat yang cuba mendaftar dengan memasuki laman sesawang tersebut memperlihatkan kebimbangan dalam kalangan rakyat membabitkan vaksin yang ditawarkan.

” Pihak jawatankuasa khas terbabit harus bertanggungjawab diatas kekecewaan dan kerisauan besar yang sedang dihadapi oleh sebilangan besar rakyat yang ingin mendapatkan vaksin Covid-19 tersebut,” jelas beliau.

Sejajar dengan itu beliau mendesak kerajaan supaya segera bertindak dengan mempercepatkan pemberian vaksin secara lebih sistematik dan teratur kepada seluruh rakyat negara ini agar kerisauan tersebut dapat dibendung dengan segera.