Pelakon dan penyanyi Janna Nick memaklumkan bahawa dia telah membuat permohonan maaf secara peribadi kepada pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar.
Ini adalah berhubung ‘kontroversi’ majlis resepsi perkahwinannya baru-baru ini. Menurut Kosmo, Janna mengakui kesilapan dan kelalaian berpunca dari dirinya sendiri.
“Saya minta maaf itu adalah kealpaan saya. Saya sedar itu merupakan kelalaian dan kesalahan dari pihak saya yang mana majlis itu tidak sesuai dengan Ustaz Wadi.
“Ustaz Wadi pun sudah buat penjelasan daripada pihak dia, saya juga tidak mahu panjangkan isu ini.
“Saya sangat menghormati Ustaz Wadi dan juga para ulama yang ada di Malaysia. Saya sebagai orang yang cetek ilmu sangat menghormati mereka semua.
“Kalau mahu bandingkan nama saya dengan beliau sangat jauh beza. Saya rasa hina sangat kalau mahu panjangkan kontroversi ini,” ujar Janna seperti dipetik Kosmo.
Tambah Janna, tujuannya menjemput Ustaz Wadi adalah untuk memberkati majlis selain mengetuai majlis doa selamat dan bacaan yassin yang dijalankan malam sebelum nikah.
“Tujuan saya menjemput Ustaz Wadi kerana malam sebelum hari pernikahan saya memintanya untuk mengetuai majlis doa selamat dan bacaan yassin.
“Malam itu juga, dia ada menyampaikan ceramah bertajuk Memimpin Isi Rumah Ke Syurga. Disebabkan itu, Ustaz Wadi tahu ada undangan perkahwinan dan saya tidak tahu hukum dalam Islam kalau sudah jemput orang itu, wajib hadir.
“Semoga semua orang boleh hentikan isu ini dan tidak berlaku perbalahan. Niat saya hanya mahu mohon keberkatan daripada orang yang ilmunya tinggi untuk mendoakan perkahwinan saya,” jelasnya.
Baca juga: “Semalam kata dah balik” – Netizen tunjuk bukti Ustaz Wadi masih ada dalam majlis kahwin Janna Nick