Dunia hiburan hari ini dikejutkan dengan khabar membabitkan pelawak dan pelakon, Azlee Senario yang dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN), sebentar tadi.
Pelawak yang berumur 56 tahun itu dikejarkan ke pusat perubatan terbabit selepas dikatakan rebah di rumahnya, malam tadi dipercayai disebabkan komplikasi jantung.
Khabar tersebut dimaklumkan oleh pelakon yang juga pelawak iaitu Ropie Cecupak menerusi akaun Instagram miliknya tanpa memperincikan masalah kesihatan Azlee.
Ropie di dalam hantaran tersebut turut memuat naik satu tangkap layar perbualan di aplikasi WhatsApp bersama gambar memaparkan Azlee sedang menerima rawatan.
Pemilik nama sebenar Zahid Tajuddin itu turut memohon doa daripada orang ramai supaya Azlee yang merupakan anggota kumpulan Senario dikurniakan kesihatan.
“Marilah bersama mendoakan semoga teman kita, Azlee Senario diberikan sepenuh kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusannya,” kongsi Ropie.
Difahamkan, Azlee atau nama sebenarnya, Muhammad Azlee Jaafar berpeluh-peluh di kediamannya malam tadi sebelum rebah dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh.
Walau bagaimanapun, pakar perubatan hospital terbabit kemudian meminta pengesahan ahli keluarganya untuk dirujuk ke IJN ekoran keadaannya yang membimbangkan.
Dalam perkembangan terbaharu, isteri Azlee iaitu Aslinda Ayob memaklumkan bahawa suaminya telah disahkan mempunyai masalah saluran darah tersumbat pada jantungnya.
Azlee kini ditempatkan di Unit Penjagaan Koronari (CCU) untuk pemantauan selepas menjalani prosedur angiografi dan juga pemasangan stent (tiub kecil), lapor Kosmo.
“Doktor mengesahkan saluran jantung Azlee tersumbat sebanyak 99 peratus dan prosedur pemasangan stent terus dilakukan segera. Alhamdulillah keadaannya stabil.
“Namun perlu mendapatkan rehat secukupnya sebelum dibenarkan pulang,” katanya yang turut memberitahu suaminya tidak mempunyai penyakit jantung sebelum ini.
Jelas Aslinda lagi, Azlee Senario hanya kerap mengalami tekanan darah tinggi dan mengambil ubat bagi merawat kesakitannya itu sejak 10 tahun lalu selain mengalami masalah gout.
Semoga pelawak lagenda tanah air kita segera diberikan kesembuhan agar dapat terus menghibur peminat di serata Malaysia!
Baca juga: Raffi Ahmad taja kawan baik lahir di hospital swasta, siap bayar kos ‘check-up’ lagi!