Malaysia Dateline

JAPEN Sarawak anjur Program Pidato Kenegaraan 2020

Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak mempelawa orang ramai untuk menyertai Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Negeri Sarawak 2020 yang mana johan akan berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1, 500.

Menurut kenyataannya di Kuching hari ini, Program Pidato Kenegaraan itu adalah aktiviti tahunan JAPEN yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kefahaman masyarakat tentang dasar-dasar negara.

Kata kenyataan itu, objektif pertandingan adalah bagi memperkasakan penggunaan Bahasa Kebangsaan serta menyubur dan mengukuhkan semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia.

“Pertandingan bertemakan ‘Kita Malaysia Makmur Bersama’ ini terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan para peserta pertandingan dikehendaki untuk menyampaikan hujah pidato dalam bahasa Melayu menerusi kaedah ‘Ted Talk’ beserta penggunaan bahan sokongan seperti slaid pembentangan PowerPoint, video dan audio.

“Syarat utama pertandingan adalah penghasilan slaid pembentangan haruslah merupakan karya asli peserta yang tidak pernah diterbitkan dalam mana-mana platform sebelum ini,” ujar kenyataan itu lagi.

Tambahnya, pilihan tajuk yang disediakan adalah berdasarkan tujuh kategori iaitu Kategori Ekosistem Perniagaan dan Industri – Teknologi 5G Peranti Ekonomi Masa Depan; Kategori Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Dunia – Negara Berteknologi Tinggi Meningkatkan Produktiviti; Kategori Modal Insan – Modal Insan Dinamik Citra Negara Bervisi.

Selain itu, tajuk lain ialah Kategori Pasaran Buruh dan Pampasan Pekerja memperkemas Polisi, Hapuskan Diskriminasi; Kategori Kesejahteraan Sosial Kemakmuran Bersama Tunjang Kesejahteraan Sosial; Kategori Keterangkuman Wilayah Pembangunan Komprehensif Teras Kemakmuran Bersama dan Kategori Modal Sosial- Masyarakat Berintegriti Mengukuhkan Persepsi.

Sehubungan itu, format pertandingan ialah melibatkan penilaian peserta di peringkat daerah terlebih dahulu dan seorang peserta terbaik akan dipilih mewakili daerah masing-masing untuk mara ke peringkat negeri.

“Kaedah penilaian bagi pertandingan di peringkat negeri adalah menerusi rakaman video peserta terbaik di peringkat daerah dan hanya lima orang peserta akan dipilih oleh barisan panel hakim yang dilantik untuk berentap secara langsung semasa pertandingan akhir di Maktab Rendah Sains MARA, Betong pada 18 April 2020 kelak.

“Justeru, JAPEN bakal menawarkan hadiah menarik berupa wang tunai RM1,500 beserta plak penyertaan dan sijil kepada Johan Pertandingan dan beliau bakal mewakili negeri Sarawak ke pertandingan yang sama di peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada Jun 2020.

“Tarikh tutup penyertaan adalah sebelum 1 April 2020 dan orang ramai yang berminat dan memiliki bakat dalam bidang pengucapan awam boleh mendapatkan maklumat lanjut serta borang penyertaan pertandingan di Pejabat Penerangan Daerah terdekat di kawasan masing-masing,” jelas kenyataan itu.