Malaysia Dateline

JAS baru terima permohonan bulan lalu tetapi ladang sudah penuh pokok durian

Jabatan Alam Sekitar (JAS) hanya menerima permohonan pemaju bulan lalu bagi menukar komponen tanaman daripada pokok getah kepada durian di ladang hutan Gunung Inas, Baling.

Permohonan bagi penanaman tersebut baru dibuat selepas ribuan hektar lokasi yang sepatutnya dijadikan ladang getah klon balak (TLC) menjadi ladang durian.

Ketua Pengarah JAS, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dilapor berkata, pihaknya masih meneliti permohonan penukaran komponen tersebut.

Jelasnya, proses itu perlu dilaksanakan bersama Jawatankuasa Penilaian Teknikal kajian impak alam sekitar (EIA), sebelum keputusan dibuat.

“Sehingga kini kita belum membuat sebarang keputusan lagi (sama ada permohonan itu diluluskan atau sebaliknya).

“Saya fikir dalam masa terdekat ini, keputusan mengenai permohonan itu perlu dibuat,” dipetik BH, 11 Julai lalu.

Dalam hal berkaitan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kelulusan awal untuk projek perladangan di Gunung Inas pada 2007 ialah 5,000 hektar.

Tragedi kepala air di Kupang, 4 Julai lalu meragut tiga nyawa dan memusnahkan banyak harta benda penduduk kampung.

“Selepas ia menjadi ladang durian, keluasannya meningkat hingga 12,140 hektar dalam tempoh enam tahun, antara 2013 dan 2019,” kata Sanusi kepada FMT.

Sementara itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menjadi menteri besar pada 2013-2016 dan 2018-2020 berkata, penebangan pokok di Hutan Simpan Gunung Inas dimulakan kerajaan negeri pimpinan Pas antara 2008 hingga 2013 melalui pembangunan Ladang Sejahtera.

Walau bagaimanapun, hanya kawasan kecil seluas 162 hektar ditanam dengan TLC, kata Sanusi, dengan projek ladang rakyat itu telah dibatalkan apabila kerajaan negeri BN kembali mentadbir pada 2013.

Isu siapa yang meluluskan projek ladang Musang King di Baling, Kedah muncul ekoran bencana banjir dan kepala air di Kupang pada 4 Julai lalu yang meragut tiga sekeluarga selain menyebabkan 1,490 penduduk terjejas.

Baca juga AMANAH Kedah desak projek musang king di Hutan Simpan Gunung Inas dihentikan serta merta