JAS Johor nilai kualiti air Sungai Daing ekoran pencemaran Sungai Kopok

JAS Johor nilai kualiti air Sungai Daing ekoran pencemaran Sungai Kopok

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor akan melakukan penilaian kualiti terhadap sampel air dari Sungai Daing berikutan pencemaran Sungai Kopok di Pasir Gudang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor Tan Chen Choon berkata pihaknya mengambil maklum kegusaran penduduk Kampung Perigi Acheh dan memandang serius pencemaran di Sungai Kopok yang dipercayai berpunca daripada Sungai Daing iaitu anak Sungai Kopok.

“Selain penilaian kualiti air, JAS juga diarah memeriksa seluruh premis industri berhampiran Sungai Daing bagi memastikan prosedur operasi premis tersebut mengikut piawaian di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Tan berkata langkah penilaian kualiti air dan memeriksa premis industri tersebut diputuskan selepas beliau melihat sendiri kualiti air berkenaan pada pagi ini bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Ahli-Ahli MPPG, pegawai JAS, Jabatan Perikanan Johor serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor.

Beliau berkata penilaian kualiti air dilakukan setelah ukuran secara in-situ dibuat oleh pihak JAS dalam tinjauan pagi tadi.

“Kerajaan Negeri Johor kemudian akan mengambil tindakan selanjutnya berdasarkan keputusan penilaian makmal terhadap sampel air berkenaan,” katanya.

Menurut Tan, Kerajaan Negeri Johor juga prihatin terhadap penduduk di Kampung Perigi Acheh yang rata-ratanya bergantung hidup dengan sumber Sungai Kopok.

Oleh itu, satu sesi dialog awam akan diadakan dalam masa terdekat yang akan dikelolakan oleh pihak MPPG dengan melibatkan agensi awam berkaitan susulan pertemuan bersama penduduk setempat pagi tadi, katanya.

Beliau berkata sesi dialog tersebut dianjurkan untuk mengenal pasti dan menemukan penyelesaian masalah secara tuntas membabitkan penduduk setempat khususnya mereka yang bergiat aktif sebagai nelayan dengan memberi fokus kepada isu alam sekitar dan sosioekonomi setempat.

— BERNAMA