Malaysia Dateline

JAS nafi kumbahan IWK punca air Sungai Gong hitam

Jabatan Alam Sekitar (JAS) menafikan laporan portal Selangorkini.my bertajuk “Sah Kumbahan IWK Punca Air Sungai Gong Berwarna Hitam’ yang dikeluarkan pada 24 September 2020.

Ketua Pengarah JAS Putrajaya, Norlin Jaafar memaklumkan bahawa jabatannya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengesahkan bahawa loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) terlibat dalam kes pencemaran air berwarna hitam di Sungai Gong pada 19 September 2020.

“JAS mendapati bahawa artikel tersebut telah disalah lapor dan menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

“Bertindak atas perkara tersebut, pihak selangorkini.my telah menarik balik kenyataan yang dikeluarkan menerusi portal akhbar berkenaan,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi.

Sehubungan itu, orang ramai juga diminta untuk tidak membuat spekulasi dan menyebarkan laporan yang tidak tepat berhubung perkara ini.