Malaysia Dateline

Jasa perlu dibubarkan kerana fungsi propaganda tidak sesuai untuk dibiayai kerajaan

JASA 2.0 dipenuhi ahli PKR dan Bersatu

Seorang bekas Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) mendakwa penubuhan JASA 2.0 yang diumumkan kerajaan Perikatan Nasional terdiri daripada ahli PKR dan Bersatu.

Bekas pegawai berkenaan yang dikenali sebagai Noor Ismail berkata, beliau dan majoriti bekas pegawai JASA yang baru ditubuhkan semula ini tidak dipanggil semula untuk berkhidmat di jawatan masing-masing.

“Saya juga tidak mengisi borang pemohonan mahu berkerja dengan JASA 2.0 kerana sebelum ini Saya telah mendapat makluman awal bahawa Jabatan ini yang ditubuhkan dengan geran JASA telah di isi dengan muka muka baru yang rata ratanya daripada Ahli PKR dan PPBM,” katanya.

Beliau menegaskan lantikan baharu itu bukanlah seratus peratus anggota asal pegawai JASA yang sebelum ini dinafikan haknya oleh kerajaan PH.

“Jangan nafikan saya ada ‘listnya’,” katanya.

Dilaporkan pihak media baru-baru ini bahawa langkah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) telah mengumumkan penubuhan semula JASA, hal ini adalah satu berita baik buat bekas pegawai JASA yang telah ditamatkan perkhidmatan.

Penamatan perkhidmatan mereka sebelum ini adalah selaras dengan manifesto Kerajaan Pakatan Harapan yang mahu mengurangkan saiz penjawatan dengan menganjurkan pengurangan 1% setiap tahun.

Dalam 22 bulan 50,000 yang berjaya dibuang kerja dan seramai lebih 760 orang adalah daripada pegawai JASA.

Julai lalu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata JASA akan kembali beroperasi dalam tempoh terdekat ini dengan 500 kakitangan.

Langkah itu bertujuan membantu bekas kakitangan badan kerajaan terbabit yang terjejas pendapatan selepas perkhidmatan mereka ditamatkan kerajaan terdahulu.