
Jasa Abdul Kadir sentiasa dikenangi PKR Sadong Jaya
Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Batang Sadong hari ini melahirkan rasa sedih di atas pemergian Abdul Kadir Haji Umar yang telahpun meninggal dunia dua hari lepas.
Ketua Cabangnya, Piee Ling berkata, beliau serta seluruh pimpinan parti di peringkat Batang Sadong dan negeri merakamkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham.
“Terasa sangat dengan kehilangan arwah Abdul Kadir kerana beliau merupakan setiausaha cabang yang banyak berkerja-keras menjalankan program dan aktiviti di sini.
” Selain itu,Allahyarham telah memperkenalkan gaya pengurusan yang berkesan dalam melaksanakan tugasnya, ” ujar beliau ketika ditemui menyampaikan sumbangan kepada balu arwah iaitu Sapia Haji Okali, 55 di Sadong Jaya, Samarahan hari ini.
Allahyarham Abdul Kadir,56, telah meninggal dunia di Pusat Jantung Samarahan selepas pengsan di rumah akibat komplikasi buah pinggang.
Arwah merupakan seorang pengusaha homestay pertama di Sadong Jaya serta pembuat dan pembekal kerepek ubi dan pisang yang berjaya menembusi pasaran di Semenanjung Malaysia termasuk di negara Brunei Darussalam.
Piee menambah, ketika bersama dalam melaksanakan kerja-kerja parti, arwah adalah seorang yang mudah diajak berbincang dan telah memberi banyak idea.
“Berbekalkan personaliti yang peramah, arwah telah berjaya menaikkan Cabang PKR Batang Sadong dengan inisiatif menganjurkan beberapa program kemasyarakatan seterusnya akan sentiasa dikenangi penduduk di sini.
“Terlalu banyak jasa arwah yang kami tidak akan lupakan.Arwah sentiasa memberi semangat dan nasihat apabila kami hendak mengadakan program atau aktiviti,” jelasnya.