Malaysia Dateline

JASA: Hairan, Najib bantah tapi Pas pula sokong

Naib Pengerusi AMANAH Terengganu, Hasbie Muda mempertikaikan tindakan Pas yang menyokong penuh Belanjawan 2021 biarpun beberapa perkara dalam peruntukan tersebut dikritik termasuk peruntukan untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Menurutnya, tindakan parti Islam itu berbeza dengan pendirian Barisan Nasional (BN) yang sebaliknya menuntut pindaan dilakukan terhadap peruntukan JASA.

“Agak ironi bila tengok respon Najib dan Pas dalam isu peruntukan RM85.5 juta kepada JASA.

“Najib bantah tetapi Pas menyokong. Jadi terbalik,” katanya dalam satu respon di Facebooknya.

Hasbie berkata, Pas sepatutnya menjadi parti yang paling di depan membantah malahan menentang kewujudkan semua JASA.

Ini kerana katanya, Pas sebelum ini adalah parti yang paling awal dan paling banyak menjadi mangsa kepada unit propaganda berkenaan.

“PAS menang di Kelantan dan Terengganu pada 1959, justeru JASA tertumpu di dua negeri ini untuk menjadi egen propaganda khusus dalam isu Melayu Islam.

“JASA juga ada peranan dalam menumbangkan Kerajaan Pas Terengganu secara tebuk atap tahun 1961 dulu,” katanya lagi.

Terdahulu, Empat parti dalam Perikatan Nasional, iaitu Bersatu, Pas, Parti Solidariti Tanah Airku, dan Parti Maju Sabah mengumumkan menyokong penuh Belanjawan 2021 yang dibentang Menteri Kewangan di sebalik kritikan terhadap beberapa perkara termasuk peruntukan untuk JASA.

Menerusi kenyataan bersama antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden STAR, Jeffrey Kitingan; dan Presiden Parti Maju Sabah, Yong Teck Lee, keempat-empat parti itu mengangkat belanjawan kontroversi RM322.5 bilion itu sebagai “manifestasi komitmen serta keprihatinan kerajaan PN dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat”.

Bagaimanapun, Barisan Nasional (BN) pula menyatakan mahu pindaan dibuat dengan memasukkan dua tuntutan utama iaitu lanjutan moratorium selama enam bulan secara automatik, dan membenarkan pengeluaran RM10,000 daripada caruman KWSP secara sekali beri.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Najib Razak juga membidas kenaikan peruntukan bagi JASA, mengatakan ia mengundang kemarahan dan peruntukan lebih perlu disalurkan untuk selamatkan rakyat.