Malaysia Dateline

Jasa hanya berjasa untuk Muhyiddin, PN

Selain disifatkan sebagai belanjawan ‘jumlah imaginasi kreatif’ oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Belanjawan 2020 terus menjadi pertikaian hangat kerana Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), dan peruntukan besar yang diberikan kepadanya.

Justeru, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM), Radio Televisyen Malaysia (RTM yang juga agensi di bawahnya), dan pelbagai saluran lain masih ada, para penganalisis menyifatkan dana RM85.54 juta untuk Jasa itu keterlaluan!

Peruntukan tersebut diumumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, Parlimen, 6 November lalu.

Tegas penganalisis, peruntukan besar itu sepatutnya digunakan untuk mengatasi masalah pengangguran belia, atau diberikan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus menangani Covid-19.

Ini tidak. Setiap petugas barisan hadapan itu hanya diberikan one-off RM500 sahaja! Lainlah kalau RM500 setiap bulan. Taska untuk mereka pula hanya diberikan RM30 juta.

Menurut Ketua Pegawi Eksekutif EMIR Research Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, peruntukan itu membazir kerana kerajaan sudah mempunyai pelbagai saluran komunikasi strategik.

Jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) ada masalah komunikasi dalam menyampaikan naratif secara strategik, tambah Rais, ia boleh menggunakan pelbagai saluran sedia ada. Bagi Rais, lebih berhemah kalau Kerajaan PN menggunakan KKM, RTM, dan pelbagai saluran yang ada.

Lantaran jumlah peruntukan tidak logik itu, tambah Rais, rakyat tidak akan gembira. Katanya, kewajaran untuk membelanjakan wang sebanyak itu juga sukar difahami kerana Kerajaan PN patut menumpukan pada komunikasi yang strategik.

Jangan membazir kerana yang lebih wajar dilakukan, tegas Rais, ialah menambah baik kandungan, dan naratif dalam penyampaian. Kandungan yang telah terbina, jelas Rais, boleh disebarkan menerusi media arus perdana, dan alternatif.

Menurut Rais lagi, peruntukan RM58.54 juta itu boleh juga digunakan untuk membantu peniaga-peniaga mikro yang sedang bergelut mendepani Covid-19.

Dana besar itu juga, tambah Rais, wajar digunakan untuk mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan belia.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim pula berpendapat PN mahu mengukuhkan kedudukannya sebagai kerajaan dengan cara yang sama seperti Barisan Nasional (BN) pernah lakukan.

Semasa pentadbiran Kerajaan BN dulu, kata Yusri, Jasa memang digunakan untuk kerja-kerja propaganda mengukuhkan kedudukan BN sebagai parti pemerintah. Jadi, tambah beliau, mungkin PN juga merancang untuk menggunakan strategi serupa.

Walau bagaimanapun, Yusri mengatakan RM85.54 juta terlalu besar, malah jauh lebih besar daripada jumlah yang BN pernah peruntukan.

Berdasarkan situasi ekonomi sekarang, kata Yusri, peruntukan besar itu tidak sepadan dengan unit sekecil Jasa (52 kakitangan), sedangkan ada agensi lain dengan saiz organisasi lebih besar memperoleh peruntukan lebih kecil.

Dr Awang Azman Awang Pawi pula memberi tanggapan menarik, dan berani. Tegas pensyarah Pengajian Melayu Universiti Malaya itu, Jasa dihidupkan semula kerana populariti Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah merudum.

Awang yakin PN akan memanfaatkan dana itu sebagai mekanisme menaikkan semula imej, dan menangkis kritikan terhadap Kerajaan PN, yang sedang menghadapi krisis majoriti tipis, dan boleh tumbang bila-bila masa.

Tambah Awang, itu dilakukan dengan menambah-nambah promosi dan publisiti di media sosial, serta pembiayaan portal untuk menaikkan nama parti, dan pemimpin politik PN.

Tegas Awang, dana RM85.54 juta itu wajar dikurangkan lebih daripada separuh kerana kita sedang menghadapi wabak pandemik.

Peruntukan besar untuk Jasa itu, tegas Awang, lebih baik disalurkan kepada misi bantuan kemanusiaan, seperti di Sabah, misalnya yang sedang dilanda krisis kemanusiaan teruk akibat Covid-19.

Bukan penganalisis yang tiada kepentingan politik sahaja yang mengkritik dana, dan pengwujudan semula Jasa, tetapi pemimpin Umno masih aktif juga menyatakan bangkangan mereka.

Mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) di Dewan Rakyat, 10 November lalu menganggap peruntukan RM85.54 juta kepada Jasa wajar digunakan bagi membeli pelitup separuh muka.

Meskipun Menteri KKM, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengatakan Jasa bebas politik kerana digerakkan oleh bukan ahli politik, tetapi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi meminta Saifuddin agar tidak perlu apologetik, kerana Jasa memang badan politik.

Sementara itu, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat sehari sebelumnya, bersimpati dengan Zafrul yang bukan ahli politik, tetapi terpaksa mengikut telunjuk pemimpin politik (PN). Beliau menasihatkan agar jabatan propaganda itu dimansuhkan sahaja.

 

* RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.