Malaysia Dateline

Jasa, tahfiz, subsidi upah, 3 isu utama perlu diselesaikan Belanjawan 2021

Peruntukan untuk Jasa, sekolah tahfiz dan insentif subsidi upah untuk IKS adalah tiga isu utama Belanjawan 2021 yang perlu diselesaikan, kata para ahli Parlimen AMANAH ketika membahaskan belanjawan kali ini.

Ketiga-tiga isu ini tidak diselesaikan oleh Menteri Kewangan ketika membuat penggulungan dalam Belanjawan 2021 itu dan tidak pula dijawab dengan baik oleh penggulungan di peringkat kementerian terbabit.

Menurut aktivis politik dari parti itu, Jamzuri Ardani, isu peruntukan RM85 juta untuk Jasa adalah yang paling utama kerana ia bakal disalahgunakan untuk kepentingan parti politik bukannya negara.

Katanya, AMANAH membantah keras peruntukan besar sebanyak RM85 juta untuk Jasa atau nama barunya J-COM itu ketika negara sudah ada Jabatan Penerangan.

Peruntukan ini, katanya, terlalu besar mangatasi peruntukan untuk agensi tersebut tahun-tahun sebelumnya.

Jasa adalah agensi propaganda kerajaan yang tidak ada keperluan mendesak untuk ditubuhkan semula setelah dibubarkan dua tahun lepas kerana fungsi agensi tersebut bersifat ‘redundant’ dengan agensi kerajaan yang lain.

“YB Khalid Samad membantah keras peruntukan yang terbesar sejak Jasa ditubuhkan yang menurutnya sangat tidak bertepatan dengan keperluan sebenar kerajaan dan rakyat ketika pandemik sedang melanda negara,” kata Jamzuri meneru facebook beliau.

Perkara kedua yang dibangkitkan adalah pengurangan ketara peruntukan untuk sekolah agama dan tahfiz juga mendapat bantahan keras dari AMANAH.

“YB Dr Mujahid Yusof membangkitkan perkara ini di dalam perbahasan parlimen dengan membandingkan peruntukan yang jauh lebih besar ketika PH mentadbir negara,” kata Jamzuri.

Menurut Mujahid, Pakatan Harapan memperuntukkan RM75 juta untuk tahun 2019 dan RM100 juta pada tahun 2020 bagi memperkasa sekolah-sekolah agama dan maahad tahfiz.

Tetapi, kerajaan hanya memperuntukkan tidak sampai RM30 juta untuk tujuan tersebut.

“Walaupun negara sedang berhadapan dengan pandemik, bantuan tetap diperlukan bagi memastikan kelangsungan dan keperluan sekolah-sekolah agama dipenuhi.

“Jumlah RM30 juta terlalu sedikit dan ini menunjukkan kerajaan langsung tidak prihatin dengan nasib pendidikan para pelajar, guru, dan pentadbir sekolah-sekolah agama,” kata beliau kertika mengulas isu ini.

Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena) pula, katanya, membidas kerajaan kerana gagal meneruskan program insentif subsidi upah kepada syarikat-syarikat IKS bagi memastikan para pekerja tidak diberhentikan kerja.

Sebelum ini kerajaan memperuntukkan subsidi upah sebanyak RM1,200 untuk setiap pekerja kepada semua sektor syarikat IKS bagi memastikan mereka para pekerja tidak diberhentikan kerja.

“Angka ini jauh lebih kecil kadarnya mengikut purata pendapatan pekerja jika dibandingkan dengan negara-negara seperti New Zealand, Australia, dan Singapura yang kadarnya hampuir 3 kali ganda berbanding peruntukan kerajaan Malaysia.

“Malangnya, Bajet 2021 telah mengurangkan lagi peruntukan insentif subsidi upah yang memang sedikit ini hanya kepada RM600 setiap pekerja dan menetapkan hanya dua sektor yang layak iaitu sektor pelancungan dan kedai makan.

“Sudahlah jumlahnya berkurangan, sektornya juga dikecilkan,” katanya.

Kata Jamzuri, tindakan ini akan menyebabkan lebih ramai rakyat yang akan kehilangan pekerjaan sedangkan jumlah syarikat yang telah menutup operasi sejak PKP sudah mencecah 60,000 syarikat melibat lebih satu juta pekerjaan.

Beliau menjangka, angka ini akan bertambah besar apabila kerajaan mengurangkan peruntukan subsidi upah dalam Bajet 2021.