Malaysia Dateline

Jata Negara Malaysia dihina: Pereka grafik anggap menggelupur panas punggung

Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin

Pereka grafik Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin mengganggap pihak yang mempersoal kulit buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ sebagai menggelabah.

Dia yang sebelum ini terkenal selepas melukis karikatur Najib dalam bentuk badut menerusi Facebook pada 2016 turut menganggap rasa tidak puas hati itu didorong sikap rasis.

“Dengan design kulit buku dan karya parodi pun nak menggelabah, menggelupur panas bontot dan melalak macam budak kecik.

“Lembik betul. Apa boleh buat, rasis dan macai memang lembik dan senang gelabah.

“Satu design kulit buku yang merupakan karya parodi lambang Jata Negara pun puak konservatif nak besar-besarkan jadi isu perkauman sebab buku itu diterbitkan masa zaman PH (Pakatan Harapan) dan editornya keturunan Cina,” ujarnya di Facebook hari ini.

Sejak semalam tular di media sosial kulit buku suntingan Kean Wong yang memaparkan logo mirip Jata Negara Malaysia dengan imej sepasang harimau berwajah manusia. Dua ekor harimau pada Jata Negara Malaysia merupakan simbol keberanian, kegagahan dan kekuatan.

Reka bentuk buku terbitan Gerakbudaya itu juga menyaksikan seekor buaya mengelilingi bahagian kepala wanita yang ditutup rambutnya. Kesemua imej berupa harimau, buaya dan penutup kepala ‘perempuan’ itu diwarnakan merah terang.

Turut mengundang kontroversi imej bayi telanjang dengan wajah berada di dalam bintang pecah empat belas sedang duduk di atas bulan sabit.

Bintang bersama-sama anak bulan pada lambang rasmi kerajaan Malaysia merupakan lambang agama Islam sebagai agama rasmi negara yang terdiri daripada 13 buah negeri dan kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Fahmi, 42, menganggap sentimen rasis dieksploitasi demi mengalih perhatian.

“Seperti biasa sentimen perkauman diperalat sebagai modal dan dibakar untuk alih perhatian. Dengan karya parodi pun nak menggelabah. Siap suruh pihak berkuasa ambik tindakan,” tempelaknya.

Dia juga berkongsikan reka bentuk kulit buku terbitan ZI Publications yang pernah diterbitkan pada 2011.

“Tak kecoh pun dulu?” soalnya lagi.

Jata Negara Malaysia merupakan lambang rasmi kerajaan Malaysia yang telah diperkenankan dan diwartakan oleh Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952.

Fahmi mempersoal mengapa reka bentuk kulit buku ini tidak mengundang kekecohan.