Malaysia Dateline

Jati diri rakyat, wanita merdeka benam fahaman tunggang agama, bangsa

Hari ini kita sama-sama meraikan Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia kali ke-63. Jika ditanya secara umum tentang ‘Hari Kebangsaan’ mana-mana negara, jawapan yang biasa akan didengar sudah tentulah ia tentang Merdeka dan Kemerdekaan Negara. Demikian, tidak terkecuali untuk Malaysia.

Merdeka selepas fasa 63 tahun pertama, wajar difokus dan diterjemahkan kepada segala usaha Islah (reform) daripada segala perbuatan dan kepercayaan yang bodoh, mematikan aqal dan menyekat kemajuan berfikir dan bertindak kepada perbuatan dan kepercayaan yang cerdik, membebaskan fikiran, sekaligus menggalakkan keupayaan penaakulan darihal kemajuan holistik – sama ada daripada sudut fizikal, mental, emosional dan spiritual masyarakat manusia (ummah).

Kemerdekaan sebenar yang dituntut pada hari ini adalah kemerdekaan minda dan jiwa, dipupuk menerusi pembinaan jati diri yang dibentuk oleh empat teras utama iaitu agama, bahasa, pendidikan dan sikap mulia (akhlaq) .

Teras terpenting di antara keempat-empat itu sudah tentulah agama. Hanya dengan agama sahajalah jiwa manusia akan lengkap mengecapi makna, nilai dan nikmat kemerdekaan yang sebenar.

Hanya dengan ajaran, fahaman dan amalan agama yang betul akan memerdekakan setiap manusia daripada bertaklid dan pasrah secara membuta tuli terhadap mana-mana makhluk sama ada secara peribadi mahupun berkumpulan.

Faham dan amalan agama yang benar akan menjadi pengimbang kepada penggunaan rasional aqal secara optima, sekaligus terpimpin ke arah meneruskan Visi Rahmah dan Misi Akhlaq Mulia yang diwariskan oleh baginda Rasul SAW – Muhammad al Amin.

Justeru, elemen islah berdalilkan al-Quran yang bersendikan aqal dan ilmu pengetahuan senantiasa ditekankan oleh Za’ba dalam membetulkan segala kekurangan atau kelemahan dalam corak fikir dan gaya persembahan manusia, baik daripada sudut urustadbir diri, masyarakat mahupun negara.

Perkara inilah nantinya yang akan menukarkan segala kekolotan dan kesempitan pemikiran kepada budaya pemikiran yang lebih bugar, sedar, hikmah dan fathonah. Sekaligus memerdekakan jiwa-jiwa manusia.

Kedatangan Islam hakikatnya menjadi simbol kemerdekaan manusia daripada segala bentuk belenggu dan penjajahan kepada kebebasan yang sebenar agar manusia tidak tunduk dan takut kepada mana-mana makhluk, asobiyah bangsa, mahupun kelompok kuasa selain Allah Azza Wajalla.

Dengan bertauhid dan sentiasa mengamalkan suruhan Allah sejujurnya, Islam membebaskan jasad dan aqal manusia daripada belenggu duniawi yang sempit dan fana’.

Lantaran itu, umat Islam yang benar dalam amalan agamanya akan senantiasa berusaha melakukan yang terbaik di atas kesedaran bahawa dunia hanyalah persinggahan sementara dan segalanya akan diperhitungkan oleh Allah di akhirat kelak.

Justeru, konsep kemerdekaan tidak boleh berdiri secara sendiri dan mutlak. Namun, ia harus disandarkan dengan kehakikian bahawa aqal dan jiwa manusia fitrahnya adalah ‘Merdeka’.

Hanya dengan membebaskan jiwa dan minda kita daripada segala dogma yang sesat, khurafat dan sempit menerusi rasional aqal, faham dan amalan agama yang benar serta akhlaq mulia akan mampu menzahirkan makna merdeka sebenar.

Tiada kemerdekaan dalam diri manusia itu jika negara ini berterusan mengizinkan amalan, fahaman dan budaya ‘Tunggang Agama dan Bangsa’ demi merai laba politik murahan, tidak kiralah sama ada untuk ‘sendiri’ mahupun ‘parti’.

Menganggap (mencanang) bahawa hanya dia (atau mereka) semata-mata yang cinta dan akan menjaga satu-satu kaum atau agama, hakikatnya adalah satu bentuk penindasan dan penjajahan pemikiran yang jauh lebih merosakkan!

Di sinilah tugas, tanggungjawab dan peranan wanita merdeka untuk mendidik dan membina semula masyarakat manusia (ummah) seawal usia anak-anak kecil, menjadi tugas, tanggungjawab dan peranan berat dan penting yang perlu dipikul secara sedar dan berAmanah.

Tiada cara lain selain membina semula masyarakat dan negara ini bagi melahirkan ummah yang berintegriti, amanah, saling hormat, saling memahami dan saling mengasihani antara satu sama lain melampaui beda bangsa, bahasa dan warna kulit di antara para warga.

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.” (Surah Ar-Ruum, Ayat 22).

“Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat.” (Buya Hamka)

Salam Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia ke-63!

#MajuTerus
#CitaCintaUntukMalaysia
#KepimpinanWanitaUntukSemua
#AmanahDemiNegara

 

*SENATOR AIMAN ATHIRAH SABU merupakan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH).